Bernama
Sebahagian daripada aktivis wanita yang memberikan sokongan kepada keluarga mangsa di luar kawasan mahkamah, sewaktu perbicaraan sedang berlangsung di Bordeaux. - Gambar X: @pascalebpitt
PARIS: Perbicaraan kes pembunuhan melibatkan seorang lelaki yang didakwa menembak bekas isterinya sebelum membakarnya hidup-hidup bermula pada Isnin di Bordeaux, barat daya Perancis, lapor agensi berita Jerman dpa.
Tertuduh berusia 48 tahun itu berdepan hukuman maksimum penjara 30 tahun.
Lelaki itu dilaporkan telah menyerang hendap wanita berusia 31 tahun itu di luar rumahnya di Merignac hampir empat tahun lalu dan menembak kedua-dua belah kakinya dengan pistol ketika mangsa dalam perjalanan untuk menjemput anak-anaknya dari sekolah.
Di hadapan jiran-jiran yang terkejut, dia kemudian menyiram petrol ke atas wanita itu dan membakarnya, sebelum turut membakar apartmen mangsa.
Pasukan perubatan kecemasan yang tiba di tempat kejadian tidak dapat menyelamatkan wanita berkenaan. Suspek ditahan tidak lama selepas kejadian dan kemudian memberitahu penyiasat bahawa dia hanya mahu menghukum wanita itu, yang telah memfailkan perceraian, tetapi bukan untuk membunuhnya.
Mangsa sebelum ini telah beberapa kali membuat laporan terhadap lelaki itu atas keganasan rumah tangga. Pada 2020, tertuduh dijatuhi hukuman sembilan bulan penjara selepas cuba mencekiknya.
Kejadian tragis itu telah mencetuskan kemarahan di seluruh Perancis, dengan banyak pihak mengecam kegagalan pihak berkuasa polis dan kehakiman dalam melindungi wanita yang terancam itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan