FMT Reporters
Tertuduh, B Vashigharan, 19, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.
B Vashigharan, 19, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sungai Petani hari ini atas pertuduhan cuba membunuh bekas teman wanitanya dengan menikam gadis itu, minggu lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Seorang penuntut universiti dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sungai Petani hari ini atas pertuduhan cuba membunuh bekas teman wanitanya dengan menikam gadis itu, minggu lalu.
Tertuduh, B Vashigharan, 19, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Roslan Hamid, menurut Berita Harian.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa cuba membunuh Kirtanah Poomaran, 19, dengan menggunakan sebilah pisau sehingga menyebabkan kecederaan.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan tandas tingkat 1, Universiti AIMST di Semeling, Bedong pada 10 pagi, 17 Mac lalu.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan dikenakan denda.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Muhammad Fitri Wan Azizan manakala tertuduh diwakili peguam P Ashokumar.
Turut hadir sebagai peguam pemerhati bagi keluarga mangsa ialah Ranjit Singh Sandhu.
Terdahulu, pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan ke atas tertuduh dengan alasan kes berkenaan adalah serius dan tidak boleh dijamin.
Bagaimanapun, Ashokumar merayu mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan jaminan kerana tertuduh masih muda dan belajar di peringkat universiti.
Rayuan itu ditolak hakim dan tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin, selain menetapkan 14 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Media sebelum ini melaporkan seorang penuntut universiti swasta parah akibat ditikam berkali-kali dalam kejadian di kampus institusi pengajian tinggi berkenaan, Isnin lalu.
Mangsa diserang remaja lelaki itu yang dikatakan bekas teman lelakinya semasa berjalan ke perpustakaan bersama beberapa rakan.
Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) manakala suspek ditahan semasa mendapatkan rawatan kecederaan di tangannya di klinik kesihatan di kampus berkenaan sejurus kejadian.
Suspek dikatakan bertindak demikian kerana berang bekas teman wanitanya memutuskan hubungan mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan