FMT Reporters
Polis berkata mangsa dan seorang lagi suspek dipercayai cuba memotong kabel elektrik sebelum berlaku letupan.
PETALING JAYA: Seorang lelaki maut manakala rakannya pengsan akibat terkena renjatan elektrik ketika cuba memotong kabel elektrik di Persiaran Rishah 27, Taman Silibin Ria di Ipoh, Perak semalam.
Ketua Polis Ipoh, Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat itu daripada orang awam pada 6.07 petang yang melihat dan membuat rakaman video dua suspek memotong kabel berkenaan.
“Ketika memotong kabel tersebut, kabel itu tiba-tiba meletup mengakibatkan kedua-dua suspek pengsan namun seorang daripadanya disahkan meninggal dunia.
“Rakan si mati yang sedar dari pengsan kemudiannya melarikan diri menaiki motosikal jenis Honda C100,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Abang Zainal berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan suspek yang maut didapati mempunyai 10 rekod kesalahan lampau bersabit kes jenayah kekerasan dan harta benda.
Menurutnya, pihak syarikat terlibat telah membuat laporan mengenai kecurian tersebut dan kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.
Terdahulu tular video di media sosial menunjukkan dua suspek dipercayai sedang memotong kabel elektrik di tepi jalan sebelum berlaku letupan menyebabkan mereka tidak sedarkan diri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan