Malaysiakini
Pakatan BN-PN ada matlamat jangka pendek dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bercita-cita menjadi perdana menteri, kata bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Puad Zarkashi.
Sementara PAS pula, katanya mahu kembali ke dalam kerajaan tanpa perlu menebuk atap dan tanpa perlu menunggi pilihan raya umum ke-16 akan datang.
“Kenapa itu berlaku? Umno-PAS ada matlamat jangka pendek.
“Zahid mahu menjadi perdana menteri dan PAS pula mahu kembali ke dalam kerajaan tanpa perlu tebuk atap dan tanpa perlu menunggi PRU ke 16.
“Zahid: PM in waiting?” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Bekas pemimpin Umno itu, berkata demikian ketika mengulas kerjasama BN dan PN, khususnya PAS berhubung strategi pengagihan kerusi serta rundingan kawasan bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan.
Siapa rakan boleh dipercayai Umno
Malam semalam, BN mengumumkan senarai calon bagi 25 kerusi DUN untuk PRN Negeri Sembilan yang dijadualkan pada 1 Ogos ini, manakala baki 11 lagi kerusi masih dalam proses rundingan akhir.
Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan yang membuat pengumuman itu berkata, BN tidak akan bertanding di kesemua 36 kerusi DUN kerana gabungan itu ada “kerjasama dengan rakan yang boleh dipercayai”.
Pengumuman itu sekali gus menguatkan desas desus bahawa BN mengadakan kerjasama politik dengan PN, khususnya PAS dan Wawasan di Negeri Sembilan.
Daripada 36 kerusi DUN, Umno akan mempertahankan kesemua 14 kerusi yang dimilikinya.
MCA pula akan bertanding di tujuh kerusi, manakala MIC bertanding dua kerusi.
Mengulas lanjut Puad mempersoalkan siapa “rakan yang boleh dipercayai” yang diperkatakan oleh timbalan presiden Umno itu.
“Sudah pasti PAS. Dulu Tok Mat (Mohamad Hasan) kata, PAS tidak boleh dipercayai kerana PAS suka berselingkuh dengan janda Umno,” sindirnya.
Puad seterusnya mempersoalkan pembahagian kerusi di Negeri Sembilan, dengan menyifatkan adalah amat mustahil untuk Bersatu memenangi walau satu kerusi di negeri tersebut pada PRN akan datang.
Dedahkan perangai PAS
Sehubungan itu, dia menyarankan agar Bersatu meletakkan calon di kawasan yang ditandingi oleh PAS bagi membolehkan kedua-dua parti itu beradu kekuatan sesama sendiri.
"Bersatu boleh mendedahkan perangai PAS yang tidak Islamik dalam berkawan," katanya.
Malam semalam Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, mengumumkan mereka akan memasuki PRN Negeri Sembilan dengan menggunakan logo sendiri selepas kecewa terhadap PAS – yang kini menguasai PN – apabila menangguhkan mesyuarat jawatankuasa perundingan kerusi.
Kata Muhyiddin, mesyuarat itu dijadual berlangsung pada 12 Julai lalu namun ditangguhkan ke tarikh yang tidak ditetapkan.
Bekas pengerusi PN itu juga mendakwa Bersatu tidak dilibatkan dalam sebarang perbincangan mengenai pembahagian kerusi selepas mesyuarat tersebut ditangguhkan.
Dia turut mendakwa PAS mengadakan perbincangan dengan BN tanpa melibatkan parti komponen PN yang lain atau mendapatkan kelulusan MT parti itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan