"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pas dan Politik Pragmatisme: Siapa sebenarnya mangsa, Bersatu atau BN?

Harapandaily

Dr Azrie Azeh

Dalam politik, tidak ada musuh atau kawan yang kekal. Yang kekal hanyalah kepentingan politik. Inilah hakikat sebenar yang sedang berlaku dalam budaya politik di Malaysia. Tiada parti di Malaysia yang menggambarkan realiti ini dengan lebih jelas daripada Pas.

Sejak lebih lima dekad,  Pas telah melalui pelbagai episod kerjasama politik yang silih berganti. Parti itu pernah menyertai Barisan Nasional pada 1973 sebelum disingkirkan pada 1977. 

Pas kemudian membentuk Angkatan Perpaduan Ummah bersama Semangat 46, menyertai Barisan Alternatif bersama DAP dan Parti Keadilan Nasional selepas Reformasi 1998, menjadi tonggak Pakatan Rakyat, membentuk Muafakat Nasional dengan Umno dan seterusnya menjadi komponen utama Perikatan Nasional bersama Bersatu.

Sejarah ini bukan sekadar catatan kronologi. Ia menunjukkan bahawa strategi politik  Pas sentiasa berubah mengikut keperluan dan konteks semasa.

Persoalannya, apakah asas prinsip yang membezakan setiap perubahan tersebut? Atau adakah prinsip itu sendiri menjadi fleksibel apabila peluang politik berubah?

Sekiranya  Pas kini memilih untuk memperkukuh hubungan politik dengan Umno, persoalan yang timbul bukan sekadar mengenai masa depan Perikatan Nasional. Yang lebih besar ialah kesannya terhadap identiti Barisan Nasional yang dibina sejak 1974 atas konsep perkongsian kuasa antara pelbagai kaum.

Dilema sebenar bermula

Umno mungkin melihat kerjasama dengan  Pas sebagai strategi untuk menyatukan sokongan Melayu-Islam. Namun, bagaimana pula dengan MCA dan MIC?

Selama puluhan tahun, MCA dan MIC menjadi wajah politik sederhana dalam Barisan Nasional. Kedua-dua parti mempertahankan model perkongsian kuasa yang menerima kepelbagaian agama, budaya dan etnik sebagai asas pembinaan negara.

Sebaliknya,  Pas dikenali dengan perjuangan politik berteraskan Islam sebagai identiti utamanya. Walaupun  Pas menegaskan hak masyarakat bukan Islam akan terus dipelihara, perbezaan falsafah politik antara  Pas dengan MCA dan MIC tetap menjadi persoalan yang memerlukan penjelasan sekiranya kerjasama diperkukuh.

Adakah MCA dan MIC bersedia menerima perubahan identiti Barisan Nasional?

Atau kedua-dua parti hanya akan menjadi pelengkap angka dalam sebuah gabungan yang semakin didominasi oleh naratif politik Melayu-Islam?

Ini bukan persoalan remeh, MCA telah kehilangan sebahagian besar sokongan masyarakat Cina sejak Pilihan Raya Umum 2008. MIC pula berdepan cabaran yang sama dalam kalangan pengundi India. 

Sekiranya berlaku kerjasama yang lebih erat antara Umno dan Pas tanpa penjelasan yang meyakinkan mengenai hala tuju gabungan, kedua-dua parti mungkin berdepan cabaran yang lebih besar untuk mengekalkan keyakinan penyokong tradisi mereka.

Dalam masa yang sama, Bersatu juga tidak boleh memandang ringan perkembangan ini. Jika  Pas dan Umno bergerak lebih rapat, Bersatu berisiko kehilangan kelebihan sebagai parti yang bersaing dalam ruang politik Melayu. Persaingan untuk pengaruh dan sokongan dalam segmen pengundi yang sama akan menjadi semakin sengit.

Apa yang sedang berlaku memperlihatkan satu hakikat penting: Politik gabungan tidak boleh hanya bergantung pada perkiraan angka. Ia juga memerlukan keserasian prinsip, kejelasan dasar dan keyakinan rakyat.

Malaysia ialah sebuah negara majmuk. Mana-mana gabungan yang ingin memerintah perlu meyakinkan seluruh rakyat bahawa kepelbagaian bukan sekadar slogan ketika pilihan raya, tetapi benar-benar menjadi asas kepada pembentukan dasar dan pentadbiran negara.

Pas berhak menentukan strategi politiknya. Umno juga berhak memilih rakan politiknya. Namun, rakyat mempunyai hak yang sama penting untuk bertanya: apakah asas prinsip di sebalik setiap penjajaran baharu, dan apakah kesannya kepada masa depan politik pelbagai kaum di Malaysia?

Soalan tersebut di atas bukan serangan politik. Ia adalah tuntutan terhadap ketelusan dan akauntabiliti dalam sebuah demokrasi yang matang.

Tiada ulasan: