"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Gadis Rohingya didakwa campak bayi baru lahir hingga mati

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang gadis etnik Rohingya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian bayi lelaki yang baru dilahirkannya, awal bulan ini.

Tertuduh, Nor Aishahkila Hussein, 19, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret A Shaarmini, lapor Berita Harian.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu dengan mencampakkan bayi tersebut melalui tingkap sehingga terjatuh ke lorong bawah bangunan dan menyebabkan kematiannya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bilik hotel di tingkat dua di Jalan Idaman 9/1,Business Presint 8, Taman Nusa Idaman pada 1.28 pagi, 5 Julai lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dikenakan hukuman gantung, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Shafeeqah Mohd Shariffudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan mengarahkannya ditahan di Penjara Simpang Renggam di Kluang sehingga kes disebut semula.

Mahkamah menetapkan 18 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tiada ulasan: