Siti Aminah Mohd
am@hmetro.com.my
Georgetown: Seramai 80 warga asing dipercayai terbabit dalam sindiket penipuan pelaburan emas dan 'love scam' antarabangsa direman bagi membantu siasatan selepas ditahan dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar Pulau Pinang, semalam.
Majistret Selvaranjini Selvaraja yang hadir ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Timur Laut pagi tadi membenarkan perintah reman selama tiga hari bermula hari ini sehingga Ahad terhadap kesemua suspek warga Vietnam, China dan Kemboja berusia lingkungan 20-an hingga 40-an terbabit.
Perintah reman itu dikeluarkan bagi membolehkan siasatan lanjut terhadap kesemua suspek dijalankan mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan bagi kesalahan menipu dan bersubahat melakukan jenayah.
Difahamkan, suspek menjadikan rakyat tempatan serta luar negara termasuk dari Amerika Syarikat sebagai sasaran penipuan emas selain menjalinkan 'hubungan romantik' secara dalam talian dan memperdaya mangsa tertentu dengan kononnya menghantar hadiah yang sebenarnya tidak wujud sebagai alasan meminta wang.
Penahanan kesemua suspek terdiri daripada lelaki dan wanita itu dilakukan di empat lokasi berbeza secara berasingan iaitu 14 daripada mereka diberkas di Taman Pantai Batu, Tanjung Bungah kira-kira jam 10 pagi.
Sementara itu, 16 daripada suspek ditahan di Jalan Batu Feringghi kira-kira jam 11 pagi, diikuti 34 suspek di Jalan Siput Kepah, Pulau Tikus pada 1 tengah hari dan 16 suspek lagi ditahan di Taman Bukit Dumbar pada jam 2 petang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan