FMT Reporters
PETALING JAYA: Empat individu ditahan kerana disyaki terbabit kes memeras ugut dan membuli seorang pelajar perempuan 16 tahun di Membakut.
Kejadian itu dipercayai berlaku 8 Julai lalu apabila mangsa mendakwa berulang kali dipaksa menyerahkan wang dan turut menerima ugutan jenayah daripada suspek.
Ketua Polis Beaufort, Champin Piuh, berkata hasil tindakan pantas dan risikan, empat suspek ditahan 9 Julai lalu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 506 dan 507B Kanun Keseksaan.
“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai menjadi sasaran perbuatan meminta wang secara berulang sebelum turut menerima ugutan jenayah.
“Semua suspek sudah diambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang dan siasatan masih diteruskan sebelum kertas siasatan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk arahan selanjutnya,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau menggesa pelajar, ibu bapa dan pihak sekolah sentiasa peka terhadap sebarang perlakuan buli atau ugutan serta segera membuat laporan jika mempunyai maklumat berkaitan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan