Noorazura Abdul Rahman

Tertuduh Khairul Helmy Abd Karim, 39 (kanan) dan Mohamad Irwan Abdul Halim, 43, dibawa ke Mahkamah Majistret Sungai Petani hari ini bagi menghadapi pertuduhan mengganggu dan melakukan ugutan. – Foto NSTP
SUNGAI PETANI: Dua lelaki upahan ah long dijatuhi hukuman penjara 18 bulan dan denda RM20,000 setiap seorang selepas mengaku bersalah mengganggu serta melakukan ugutan terhadap peminjam pada Mac dan April lalu.
Tertuduh, Khairul Helmy Abd Karim, 39, dan Mohamad Irwan Abdul Halim, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Noor Farah Hazwani Osman.
Mengikut pertuduhan pertama, kedua-duanya mencapai niat bersama dalam mengganggu seorang lelaki dengan menyimbah keretanya cat merah di Taman Sri Putra di sini, pada jam 3.30 pagi, 14 Mac lalu.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh dengan niat bersama mengganggu seorang lagi lelaki dengan menyimbah cat kuning kereta Naza Forte dan pintu pagar sebuah rumah di Taman Berjaya di sini, jam 5.30 pagi, 21 April lalu.
Pendakwaan kedua-dua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 29(B)2 Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM50,000 atau dipenjarakan tidak lebih dari dua tahun atau kedua-duanya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM10,000 dan penjara lapan bulan terhadap setiap tertuduh bagi pertuduhan pertama.
Sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan, mereka boleh dikenakan tambahan hukuman penjara selama tiga bulan.
Bagi pertuduhan kedua pula, kedua-dua tertuduh masing-masing didenda RM10,000 dan dipenjara 10 bulan.
Mereka turut dikenakan tambahan hukuman penjara selama empat bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan