Agensi
Kashiwa, Jepun: Bekas jururawat yang didakwa membunuh seorang pesakit dengan mencampurkan najis ke dalam saluran intravena (IV) mangsa dipercayai pernah melakukan carian menerusi telefon pintarnya bagi mengetahui sama ada suntikan najis mampu menyebabkan kematian.
Sumber siasatan mendedahkan, wanita terbabit turut dilihat memasuki bilik pesakit di hospital di wilayah Chiba itu beberapa kali dalam tempoh singkat sebelum mangsa meninggal dunia, menurut kenyataan pegawai hospital.
Memetik laporan The Japan Times, bekas jururawat berusia 51 tahun itu, Miyuki Furukawa, ditahan pada Rabu atas dakwaan membunuh seorang pesakit lelaki pada awal pagi 30 Januari lalu.
Bagaimanapun, suspek dilaporkan menafikan semua pertuduhan dan dakwaan yang dikenakan terhadap dirinya.
Polis Wilayah Chiba kini menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti bagaimana bahan najis itu boleh dicampurkan ke dalam tiub sambungan titisan intravena berkenaan.
Pengarah Hospital Kashiwa Tanaka, Tomonobu Hasegawa dalam satu sidang media pada Khamis memohon maaf berhubung kes pembunuhan yang berlaku di fasiliti kesihatan berkenaan.
Katanya, pihak hospital akan melaksanakan latihan semula kepada semua kakitangan secara menyeluruh berkaitan etika kerja.
Menurut pihak hospital yang terletak di bandar Kashiwa, wilayah Chiba itu, seorang penolong jururawat yang bertugas syif malam bersama Furukawa mendakwa melihat suspek beberapa kali keluar masuk ke bilik pesakit, Eiji Aita, 75, yang kemudiannya meninggal dunia.
Furukawa dipercayai sering berinteraksi dengan Aita ketika bertugas syif malam iaitu sekitar empat hingga lima kali sebulan.
Kira-kira jam 4 pagi pada 30 Januari lalu, penolong jururawat berkenaan mendapati Aita berada dalam keadaan kesakitan ketika melakukan rondaan pemeriksaan rutin.
Ketua jururawat yang bergegas ke bilik pesakit selepas menerima panggilan kemudian menemui objek asing berwarna coklat di dalam tiub sambungan infusi yang disambungkan kepada pesakit.
Tiub itu ditanggalkan dan disimpan di dalam bekas steril. Bagaimanapun, Furukawa kemudian memindahkannya ke bilik kakitangan hospital ketika Aita masih menerima rawatan.
Apabila diperiksa semula, objek asing itu didapati bertukar warna kemerahan. Susulan kejadian itu, suspek digantung tugas serta-merta sebelum dia meletak jawatan pada 24 Februari lalu selepas mengetahui polis memulakan siasatan.
-hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan