"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pengawal keselamatan parah terjatuh tren ketika bergelut dengan penumpang mabuk

Bernama
Deutsche Bahn
Pengawal yang cedera parah itu kemudian ditemukan di tepi landasan dalam operasi mencari secara besar-besaran, kira-kira dua kilometer dari lokasi tren berkenaan berhenti. - Gambar/ Deutsche Bahn
STUTTGART: Seorang pengawal keselamatan syarikat pengendali rel Jerman, Deutsche Bahn, cedera parah selepas terjatuh dari tren yang sedang bergerak ketika berlaku pergelutan dengan seorang penumpang, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa) yang memetik polis dan pendakwa raya.

Kejadian berlaku pada petang Jumaat ketika pemeriksaan tiket dijalankan dalam sebuah tren yang dalam perjalanan dari Offenburg ke Karlsruhe di barat daya Jerman.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan awal Sabtu, pertengkaran mulut dipercayai tercetus ketika pemeriksaan itu, menyebabkan dua pengawal keselamatan Deutsche Bahn dipanggil.

Seorang penumpang yang dipercayai berada dalam keadaan mabuk didakwa menghina kedua-dua pengawal berkenaan sebelum berlaku pergelutan antara lelaki berusia 36 tahun itu dengan seorang daripada pengawal terbabit yang berusia 26 tahun.

Kedua-duanya terjatuh ke lantai ketika bergelut. Sebuah pintu tren kemudian terbuka atas sebab yang masih belum diketahui, menyebabkan pengawal berusia 26 tahun itu terjatuh dari tren yang sedang bergerak berhampiran Ettlingen-Bruchhausen, menurut polis dan pendakwa raya.

Kelajuan tren ketika kejadian masih belum dapat dipastikan.

Suspek ditahan ketika masih berada di dalam tren.

Pengawal yang cedera parah itu kemudian ditemukan di tepi landasan dalam operasi mencari secara besar-besaran, kira-kira dua kilometer dari lokasi tren berkenaan berhenti.

Mangsa dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut. Tiada maklumat terkini mengenai keadaannya setakat malam itu.

Polis sedang menyiasat punca serta urutan sebenar kejadian.

Tren berkenaan dihentikan sementara daripada perkhidmatan bagi membolehkan siasatan diteruskan.

-- BERNAMA-dpa

Tiada ulasan: