Chia Wan Rou
NILAI: Bersatu akan membentuk satu gabungan baharu dengan parti-parti lain selepas PRN Negeri Sembilan, kata Presidennya Muhyiddin Yassin.
Memberi bayangan bahawa Bersatu akan keluar daripada Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin berkata antara parti yang akan menyertai gabungan baharu itu ialah parti-parti di bawah Ikatan Prihatin Rakyat (IPR), termasuk Putra yang dipimpin Ibrahim Ali dan Urimai yang diketuai P Ramasamy.
Bekas perdana menteri itu berkata gabungan baharu itu akan berdepan PRU akan datang.
“Dalam IPR yang nyata kesediaan duduk bincang tentang apa konsep kerjasama yang kita nak bentuk dalam kurang satu tahun.
“Ini supaya kita dapat hadapi PRU akan datang dengan kekuatan baharu kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon Bersatu PRN Negeri Sembilan.
Dalam ucapannya, Muhyidddin turut mendakwa PAS membiarkan parti itu ‘terkontang-kanting’ apabila gagal meneruskan rundingan pembahagian kerusi menjelang PRN Negeri Sembilan.
Beliau berkata, PAS pada mulanya memanggil mesyuarat bagi membincangkan agihan kerusi, namun ia tidak diteruskan sehingga menyebabkan Bersatu diketepikan daripada proses membuat keputusan.
“Sebaik tamat PRN Johor dan tinggal beberapa hari sebelum PRN Negeri Sembilan, mereka memanggil mesyuarat kononnya untuk bincang pembahagian kerusi. Tetapi mesyuarat tidak berlangsung kerana tak dapat putuskan.
“Sepatutnya ada mesyuarat lagi tetapi mereka tidak buat. Mereka berunding sesama sendiri dan tinggalkan kita begitu sahaja. Terkontang-kanting kita dibuatnya,” katanya.
Muhyiddin turut mempersoalkan tindakan kepimpinan PN yang didakwanya membuat rundingan dengan parti lain tanpa melibatkan semua parti komponen gabungan itu.
Menurutnya, Bersatu sehingga kini masih merupakan parti pengasas dan ahli sah PN, justeru sebarang keputusan sepatutnya diputuskan secara bersama.
“Hari ini pun kalau kita bertanding atas logo PN, kita masih ahli PN. Ini bukan parti PAS semata-mata. Semua parti dalam PN mempunyai hak yang sama dan tidak boleh dipinggirkan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan