"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wanita rentung selepas kereta dipandu terbakar

Mohd Roji Kawi
Wanita ditemukan rentung di dalam kereta yang terbakar di Selangau, Sibu malam ini.-Foto JBPM
KUCHING: Seorang wanita ditemukan rentung selepas kereta dipandunya terbakar dalam kejadian di jejambat Jalan Sibu-Bintulu, di Selangau, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa dikenal pasti sebagai Simbut Sigai, 49, ditemukan tersepit di tempat duduk pemandu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.22 malam.

Menurutnya, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau bersama sebuah jentera dikerahkan ke lokasi yang terletak kira-kira dua kilometer dari balai dan tiba pada jam 7.24 malam.

“Setibanya di lokasi, pasukan operasi mendapati sebuah kereta sedang terbakar membabitkan bahagian enjin dan hadapan kenderaan.

“Maklumat awal diterima memaklumkan terdapat seorang mangsa masih terperangkap di dalam kereta terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, anggota bomba segera menjalankan operasi pemadaman sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya, sebelum meneruskan operasi menyelamat.

“Operasi mengeluarkan mangsa dilakukan menggunakan peralatan khas Road Traffic Accident (RTA) kerana mangsa didapati masih tersepit di tempat duduk pemandu.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Operasi berjaya dikawal pada jam 8 malam dan tamat sepenuhnya pada jam 8.53 malam selepas anggota bomba melakukan kerja pembersihan di lokasi.

Tiada ulasan: