FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam atas tuduhan membunuh bayinya yang baru dilahirkan di sebuah pangsapuri di Subang Jaya, minggu lalu.
Tertuduh Siti Nur Wahida Zainudin, 23, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Ameera Mastura Khamis, lapor Sinar Harian.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang bekerja sebagai jurujual kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Siti Nur Wahida didakwa membunuh bayi perempuan yang baru dilahirkannya di sebuah unit pangsapuri di Persiaran Mulia, Subang Jaya antara 5 pagi hingga 5.30 petang, 7 Julai lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, atau dipenjarakan antara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dikenakan hukuman gantung, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Akhilah Rosmi sementara tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak memberikan sebarang jaminan dan menetapkan 23 Okt ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan