"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan: Dua lelaki Rohingya dicekup, tak sempat edar 6,000 biji pil kuda

AIMUNI TUAN LAH
Sebanyak 6,000 biji pil kuda yang dirampas selepas dua lelaki Rohingya ditahan di Kampung Kuala Lah, Gua Musang semalam. FOTO IHSAN POLIS
GUA MUSANG – Hajat dua lelaki etnik Rohingya untuk meraih keuntungan hasil pengedaran sebanyak 6,000 biji pil kuda tidak kesampaian selepas mereka dicekup di Kampung Kuala Lah di sini semalam.

Kedua-dua suspek berusia 36 dan 32 tahun itu ditahan apabila kereta jenis Proton Preve yang mereka naiki terbabas merempuh sebuah lori selepas dikejar kereta peronda polis.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, anggota polis yang menjalankan tugas snap check di Kilometer 9, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis mengesan sebuah kereta membuat pusingan U sebaik menghampiri lokasi pemeriksaan.

Katanya, anggota polis bertindak mengejar kereta itu sebelum kenderaan tersebut terbabas dan merempuh sebuah lori di kawasan Kampung Kuala Lah berhampiran simpang tiga Jerek-Meranto.

“Kedua-dua suspek berjaya ditahan dan pemeriksaan di dalam sebuah beg silang di dalam kereta itu menjumpai bungkusan plastik berisi 6,000 biji pil kuda.

“Siasatan awal mendapati, kedua-dua suspek mengaku memiliki dadah berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti rangkaian pengedaran termasuk individu lain yang terbabit dalam kegiatan tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Choon Foo memberitahu, ujian saringan air kencing terhadap dua lelaki itu mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine dan salah seorang suspek mempunyai rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurutnya, selain pil kuda, polis turut merampas sebuah kereta Proton Preve, lima unit telefon bimbit dan satu kunci kereta dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM60,000.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: