"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Koperal mengaku tak salah 2 tuduhan amang seksual anak kandung

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang anggota polis berpangkat Koperal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ampang hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan berusia 11 tahun, Mei lalu.

Tertuduh yang berusia 35 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Norshila Kamarudin, menurut Sinar Harian.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak itu ketika kejadian berumur 11 tahun 10 bulan, bagi tujuan seksual.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kuala Kubu Bharu, Rawang antara jam 9 hingga 10 malam, 21 Mei serta 2 petang 22 Mei lalu.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta serupa.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Bagi hukuman Seksyen 16(1) akta sama membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan tidak kurang dua sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin yang mengendalikan pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh.

Tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Azim Hilmi Aziz memohon mahkamah membenarkan ikat jamin atas alasan kesihatan berikutan anak guamnya sedang menerima rawatan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

Norshila berkata mahkamah akan mempertimbangkan permohonan pembelaan berhubung ikat jamin pada tarikh sebutan seterusnya.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 26 Ogos depan untuk serahan dokumen bagi status penjamin jika ada.

Tiada ulasan: