"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pekerja kedai perabot dijel 30 tahun kerana bunuh anak kekasih

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang pekerja kedai perabot dijatuhkan hukuman penjara 30 tahun oleh Mahkamah Rayuan Kuching kerana membunuh anak teman wanitanya yang ketika itu berusia 13 tahun pada 2018.

Hakim Azman Abdullah menggantikan hukuman mati dengan hukuman penjara terhadap Yap Kak Min atas sabitannya di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dia membunuh remaja itu di sebuah rumah di Bandar Baru Tudan, Miri, pada 9 Jan 2018.

Pada 2022, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman mati ke atas Yap selepas mendapati dia bersalah.

Mahkamah Rayuan turut memerintahkan Yap menjalani hukuman penjara bermula tarikh tangkapan (9 Jan 2018) dan disebat sebanyak 12 kali.

Hakim lain yang bersidang bersama Azman ialah Azmi Ariffin dan Lim Hock Leng.

Dalam menggantikan hukuman Yap, Azman berkata, hukuman mati hanya untuk “kes paling jarang berlaku” atau “keadaan di mana kejutan terhadap hati nurani orang ramai menuntut pembalasan tertinggi”.

Katanya, kes ini tidak termasuk dalam kriteria itu.

“Hukuman penjara tempoh panjang digabungkan dengan hukuman sebat akan memenuhi prinsip keadilan berbentuk pembalasan dan pencegahan.”

Menurut fakta kes, anggota polis menemui Yap bertindak mencurigakan berhampiran jalan di Kuala Baram dan but keretanya terbuka ketika itu.

Apabila ternampak polis, Yap menutup but keretanya dan memecut sebelum ditahan berhampiran pelabuhan Miri. Mayat seorang gadis ditemui dalam but keretanya.

Dalam kes bunuh berasingan, Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan terhadap warga China, Feng Shilin.

Feng membunuh rakan sekerjanya, Wang Yingjin pada 17 Mei 2021 di sebuah asrama pekerja milik Press Metal Bintulu Sdn Bhd.

Kedua-dua lelaki itu bertengkar beberapa kali berkaitan kerja pada hari kejadian. Feng kemudian menikam leher Wang sebelum dihalang rakan sekerja lain.

Wang meninggal dunia di Hospital Miri lapan hari kemudian.

Azman berkata, tiada merit untuk rayuan Feng terhadap sabitan itu dan pembelaan warga China itu penafian semata-mata.

Tiada ulasan: