Harapandaily
Keputusan Barisan Nasional (BN) tidak menamakan Khairy Jamaluddin sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan terus mengundang persoalan apabila seorang pakar Perlembagaan berpandangan bekas Menteri Kesihatan itu berada pada kedudukan yang lebih sesuai untuk bertanding berbanding pemimpin tertentu dalam parti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tebing Tinggi, Abdul Aziz Bari berkata, Khairy atau KJ tidak memegang sebarang jawatan dalam Kabinet Persekutuan, sekali gus tidak berdepan konflik tanggungjawab bersama seperti yang dihadapi calon BN di DUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan(Mat Hasan).
“Berdasarkan kedudukan KJ, beliau jelas berada dalam keadaan yang lebih sesuai untuk bertanding dalam pilihan raya. Saya tertanya-tanya mengapa beliau tidak dipilih dan sama ada ada pihak yang menghalangnya,” katanya.
Memetik laporan portal MalaysiaGazette, Aziz menjelaskan, Mat Hasan yang juga Timbalan Presiden Umno dan Menteri Luar perlu lebih berhati-hati ketika berkempen kerana masih terikat dengan prinsip tanggungjawab bersama sebagai anggota Jemaah Menteri.
Katanya, kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengingatkan anggota pentadbiran supaya tidak menyerang Kerajaan Persekutuan sepanjang kempen meletakkan Mohamad dalam kedudukan yang sukar.
“Mohamad Hasan sememangnya berada dalam dilema yang sebenar.
“Berdasarkan kenyataan PMX dan kedudukan Mat Hasan sebagai calon PRN Negeri Sembilan, ia menjadikan beliau kelihatan begitu janggal,” katanya.
Aziz berkata, Perdana Menteri telah memberi isyarat yang jelas bahawa menteri, timbalan menteri atau ketua agensi bebas berkempen mengenai isu negeri, namun jika memilih untuk menyerang Kerajaan Persekutuan, mereka sepatutnya melepaskan jawatan masing-masing.
Mengulas reaksi Mohamad yang menyatakan kesediaan meletakkan jawatan Kabinet jika diarahkan Perdana Menteri, Aziz berkata Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan menetapkan semua anggota Jemaah Menteri terikat dengan prinsip tanggungjawab bersama.
“Walaupun peruntukan itu ringkas, implikasinya amat besar,” katanya.
Beliau turut membandingkan kedudukan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menurutnya lebih selesa kerana tidak bertanding dalam PRN Negeri Sembilan.
Katanya, Zahid juga dilihat lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan berbanding Mohamad.
“Beliau (Mohamad) perlu memilih sama ada mahu terus kekal dalam Kabinet atau menjadi calon dalam pilihan raya negeri,” katanya.
Aziz turut mengkritik kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang menyatakan pelantikan seseorang sebagai menteri adalah atas budi bicara Perdana Menteri.
Menurutnya, kenyataan itu hanya meletakkan Anwar dalam keadaan sukar.
“Sebagai ahli politik yang berpengalaman, kedua-duanya sepatutnya memahami implikasi keputusan mereka. Pada ketika ini, mereka seharusnya sudah tahu bahawa dengan mengambil pendirian sedemikian, sudah jelas apa yang perlu dilakukan.
“Bagaimana hendak mengelakkan daripada menyerang Kerajaan Persekutuan apabila seseorang cuba mempromosikan kerjasama antara Umno dan Pas?” soalnya.
Khairy sebelum ini disebut-sebut sebagai antara tokoh yang berpotensi menjadi wajah utama BN bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan, namun namanya tidak tersenarai dalam barisan calon yang diumumkan parti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan