"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Terengganu: Gegantung papar ayat berbaur lucah sekitar Kuala Terengganu diturunkan

Bernama

KUALA TERENGGANU: Gegantung iklan memaparkan ayat berbaur lucah sekitar bandar raya ini seperti yang tular di laman sosial sejak semalam telah diturunkan, kata Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Terengganu Wan Sukairi Wan Abdullah.

Beliau berkata, semakan mendapati permit bagi gegantung itu telah diluluskan berdasarkan bahan yang dikemukakan ketika permohonan namun diubah suai sebelum dipasang di tempat awam di sekitar Kuala Terengganu.

Susulan itu, katanya, pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) telah menghubungi pihak berkaitan dan mengarahkan agar gegantung iklan tersebut diturunkan dengan kadar segera.

“Saya menerima banyak aduan daripada orang ramai berhubung pemasangan iklan mengandungi ayat yang kurang bermoral dan tidak sesuai dipaparkan di tempat awam.

“Kerajaan negeri memandang serius perkara ini dan tindakan segera telah diambil oleh pihak MBKT sebaik sahaja aduan diterima,” katanya dalam kenyataan.

Wan Sukairi berkata, pemeriksaan di lokasi mengesahkan iklan itu telah diturunkan sepenuhnya dan tidak lagi dipamerkan.

Tambahnya, kelulusan permit adalah tertakluk kepada terma serta syarat ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan, dan tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang melanggarnya mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Tiada ulasan: