"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penjawat awam antara 8 diberkas sindiket seludup senjata api

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang penjawat awam antara lapan individu diberkas susulan disyaki terlibat sindiket penyeludupan senjata api dalam operasi di Perlis, Perak, dan Kedah, bulan ini.
Pihak berkuasa juga merampas pelbagai senjata api dianggar RM360,000 dalam operasi dilaksanakan antara 1 hingga 20 Julai.

Ketua Polis Perlis Muhammad Abdul Halim, berkata sindiket itu dipercayai aktif sejak 2019 dengan suspek ditahan berusia lingkungan 30-an hingga 60-an, terdiri tujuh lelaki dan seorang wanita.

Beliau berkata, operasi bermula susulan tangkapan terhadap seorang lelaki tempatan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Perak di Sitiawan pada 1 Julai, sebelum beberapa serbuan dijalankan di Beseri dekat Padang Besar; Kangar, Kuala Perlis serta Lunas di Kulim.

“Hasil operasi, polis merampas tiga pistol berkaliber 9mm, dua laras senapang patah, tiga laras raifal berkaliber .22, 11 laras raifal airsoft, 10 pistol airsoft serta selaras senapang angin buatan sendiri.

“Selain itu, ratusan butir peluru pelbagai kaliber, 9,000 kelongsong peluru serta pelbagai komponen dan aksesori senjata api,” katanya menurut Bernama.

Muhammad berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 7 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 serta Seksyen 8(a) dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dengan tiga daripada individu berkenaan telah dituduh di mahkamah manakala lima lagi masih disiasat.

Beliau berkata, senjata api itu dipercayai diseludup masuk dari negara jiran sebelum diedar kepada rangkaian tertentu di utara Semenanjung, selain dipercayai menggunakan beberapa lokasi berbeza sebagai tempat penyimpanan senjata dan peluru.

“Hasil kerjasama risikan antara JSJ Kontinjen Perlis, Perak, dan Kedah berjaya mengenal pasti rangkaian tersebut dan melumpuhkan keseluruhan operasi mereka,” katanya.

Tiada ulasan: