KOSMO!

Pegawai SPRM membawa suspek selepas mendapat perintah tahanan reman di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini.
KOTA BHARU – Seorang ketua balai polis berpangkat sarjan mejar direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menerima rasuah berjumlah RM500 sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap seorang warga asing.
Perintah reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah yang bermula hari ini sehingga Sabtu terhadap lelaki berusia 41 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Amirul Asyraf Abdul Rashid.
Terdahulu, suspek yang memakai pakaian lokap jingga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiba di Kompleks Mahkamah Kota Bharu kira-kira pukul 9.05 pagi dengan diiringi dua pegawai SPRM.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kelantan, Azmin Yusoff ketika dihubungi mengesahkan lelaki itu ditahan pada pukul 2.20 petang semalam dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Difahamkan, suspek bertugas sebagai ketua balai polis dipercayai menerima rasuah sebanyak RM500 daripada seorang warga asing yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR). – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan