"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mangsa nahas lori dipandu remaja 15 tahun meninggal dunia

Asrol Awang
Keadaan motosikal dan lori yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Utama Ladang Kosma, Rompin. FOTO Ihsan Polis Rompin
KUANTAN: Selepas bertarung nyawa lebih empat hari, seorang buruh ladang warga Indonesia meninggal dunia hari ini akibat kecederaan parah selepas dirempuh dan dihempap lori yang dipandu remaja berusia 15 tahun.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi, berkata mangsa, Hendrawan, 24, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, akibat kecederaan parah di kepala.

Menurutnya, dalam kejadian Sabtu lalu, mangsa yang menunggang motosikal dilanggar lori berkenaan di Jalan Utama Ladang Kosma, Rompin.

“Berdasarkan laporan, kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu motosikal dan lori pada jam 5.45 petang, Sabtu lalu.

“Siasatan awal mendapati, lori dipandu remaja lelaki itu datang dari arah Perumahan Ladang Kilang Kosma menghala ke kawasan pembinaan Ladang Kosma.

“Setibanya di tempat kejadian, lori itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan menghempap mangsa yang menunggang motosikal. Manakala pembonceng motosikal berusia 24 tahun yang juga warga Indonesia sempat menyelamatkan diri.

“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan dibawa ke HTAA.

“Pemandu lori mengalami kecederaan di bahagian tangan dan kaki kanan, manakala penumpang lori berusia 17 tahun mengalami kecederaan di mata kiri,” katanya tadi.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada pemandu lori yang dipercayai gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan berlaku.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Siasatan juga mendapati pemandu lori mempunyai lima saman atas pelbagai kesalahan manakala lori dan motosikal tidak mempunyai cukai jalan.

“Pemandu lori dibebaskan dengan jaminan polis selepas kenyataan direkodkan,” katanya.

Tiada ulasan: