MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
TAPAH – Pasangan suami isteri maut dalam kemalangan membabitkan sebuah lori dan sebuah motosikal di Kilometer (KM) 342.9, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, kemalangan berlaku kira-kira pukul 5 pagi ketika pemandu lori yang memandu dari Klang ke Ipoh, manakala penunggang dan pembonceng motosikal di laluan sama dalam perjalanan dari Gombak ke Pulau Pinang.
“Ketika sampai di KM342.9, lori tersebut yang berada di laluan kiri lebuh raya telah melanggar motosikal yang sebelum itu telah melanggar objek di laluan kecemasan iaitu serpihan tayar dan kemudian jatuh memasuki ke laluan sah lori.
“Situasi itu menyebabkan, lori yang terlampau dekat tidak sempat mengelak dan menyeret motosikal tersebut sejauh 10 meter, sebelum berhenti di lorong kecemasan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan serius dan dibawa ke Hospital Tapah sebelum meninggal dunia di unit kecemasan, manakala pembonceng disahkan maut di lokasi kejadian.
Katanya, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menyalurkan maklumat kepada polis daerah Tapah di talian 05-401 1222 (Pusat Kawalan Daerah Tapah) atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah, Inspektor Muhammad Najmuddin Zulkarnain di talian 017-325 6140. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan