"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hina kerabat diraja Terengganu, lelaki dipenjara 3 bulan

Bernama

SEPANG: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik melampau serta mengancam terhadap kerabat diraja Terengganu menerusi aplikasi X.

Hakim Ahmad Fuad Othman menjatuhkan hukuman itu terhadap Azman Hakim Hassanuddin, 35, dan memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa dari tarikh reman, iaitu pada 24 Jun lepas.

Beliau menegaskan, kesalahan yang menyentuh institusi diraja, agama dan sensitiviti kaum perlu dipandang serius kerana kesannya boleh merebak luas dalam masyarakat.

Fuad berkata, prinsip Kesopanan dan Kesusilaan serta Kesetiaan kepada Raja dan Negara yang terkandung dalam Rukun Negara perlu dihormati.

“Jadi dengan raja ini kita sensitif. Kita hormati raja kita. Ertinya kita melindungi raja kita dan kita letakkan di tempat yang tinggi. Apabila kamu lakukan perbuatan ini, ia merendahkan maruah raja-raja,” katanya.

Beliau berkata, kesalahan berkaitan 3R (agama, kaum dan institusi diraja) juga berpotensi mencetuskan kesan berantai apabila penghinaan terhadap agama atau kaum boleh menimbulkan kemarahan pihak yang terkesan, manakala penghinaan terhadap institusi diraja boleh menyebabkan maruah dan kedudukannya dipandang rendah.

Terdahulu, pihak pendakwaan memaklumkan mahkamah berdasarkan laporan Hospital Bahagia Ulu Kinta pada 10 Ogos lalu, tertuduh yang juga pesakit mental, didapati layak dihadapkan ke mahkamah untuk dibicarakan serta berupaya membela diri.

Pada 24 Jun lalu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab memohon agar lelaki itu dihantar ke hospital psikiatrik untuk pemerhatian serta penilaian psikiatrik bagi menentukan sama ada layak dibicarakan.

Dalam rayuan, tertuduh memohon mahkamah agar beliau dikenakan hukuman denda memandangkan dia memerlukan rawatan berterusan termasuk pengambilan ubat setiap hari.

Beliau berkata, ketika hantaran berkenaan dibuat pada Februari lalu, kesihatan mentalnya berada pada tahap serius sehingga menyebabkannya hanya tidur dua hingga tiga jam sehari.

Mengikut pertuduhan, Azman didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik melampau serta mengancam menerusi akaun X @gmxn_ miliknya pada 19 Feb lalu.

Dia dituduh membuat hantaran komunikasi yang jelik melampau sifatnya pada 2.25 petang, 4.19 petang, 4.20 petang dan 4.29 petang dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Bagi satu lagi pertuduhan, dia didakwa membuat hantaran komunikasi yang mengancam pada 3.46 petang dengan niat untuk mengugut seseorang.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum bawah Seksyen 233(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, selain denda tambahan RM5,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas pensabitan.

Tiada ulasan: