V Anbalagan
PUTRAJAYA: Seorang warga India yang memukul rakan senegaranya dengan tukul hingga mati di sebuah rumah penjagaan warga emas enam tahun lalu gagal dalam rayuan terakhir untuk mengurangkan hukuman penjara 35 tahun dan 12 sebatan yang dikenakan terhadapnya.
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Hakim Rhodzariah Bujang sebulat suara menolak rayuan K Alagesan, 34, selepas mendapati tiada keadaan yang membolehkan hukuman diringankan.
Turut bersidang ialah Hakim Ruzimah Ghazali dan Nazlan Ghazali.
Kejadian berlaku pada pagi 9 Sept 2020, apabila Alagesan masuk ke ruang tamu sebuah rumah penjagaan di Petaling Jaya tempat mangsa, Sugan Ganesan, sedang tidur.
Tanpa amaran, Alagesan memukul kepala Sugan menggunakan tukul berkali-kali di hadapan seorang saksi sebelum meninggalkan bilik berkenaan.
Pemilik rumah penjagaan kemudian menghubungi polis, yang tiba dalam beberapa minit dan menahan Alagesan di tempat kejadian. Bedah siasat mengesahkan Sugan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala akibat pukulan objek tumpul.
Alagesan mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu di Mahkamah Tinggi pada 2024 dan pada mulanya dijatuhi hukuman 38 tahun penjara serta 15 sebatan rotan, berkuat kuasa dari tarikh ditahan.
Mahkamah Rayuan kemudian mengurangkan hukuman tersebut kepada 35 tahun penjara dan 12 sebatan selepas peguamnya ketika itu, Mokhtaruddin Baki, berhujah bahawa pengakuan bersalah Alagesan menjimatkan masa dan sumber mahkamah serta pihak pendakwaan.
Namun, percubaan untuk mendapatkan pengurangan hukuman sekali lagi di Mahkamah Persekutuan tidak berjaya.
Timbalan Pendakwa Raya Iznina Hanim Hashim hadir bagi pihak pendakwaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan