"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rampasan kuasa terancang terhadap takhta

Pengkhianatan tertinggi penderhaka: Rampasan kuasa terancang terhadap takhta

Anak Negeri

Kebiadapan melampau sangat terserlah apabila baru angkat sumpah di hadapan Raja Melayu kemudian mahu mengguling baginda.

Istana Lama Seri Menanti Negeri Sembilan
Pada Hari Malaysia, kita menyaksikan satu rampasan kuasa (coup d'état) yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan tidak berpelembagaan: ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan (exco) menerbitkan satu kenyataan bersama yang cuba mengesahkan cubaan merampas kuasa yang sumbang dan kelihatannya terancang, terhadap kedaulatan Raja Melayu.

Ini adalah pengkhianatan jentera negeri yang semakin memuncak, diketuai seorang menteri besar yang telah menjadi penderhaka kepada takhta.

Ini dilakukan walaupun Dewan Keadilan dan Undang (DKU)—pihak berkuasa perlembagaan dan adat tertinggi di Negeri Sembilan—telah mengisytiharkan lebih awal tindakan cuba menggugat tahta Yang Dipertuan Besar adalah penderhakaan mengikut undang-undang dan adat. Sebarang proklamasi yang cuba menyingkirkan Yang Dipertuan Besar adalah batal, tidak berpelembagaan, dan tidak berasas sejak dari mula.

Nampaknya, penderhaka ini tidak mengambil masa lama mempamerkan warna sebenar mereka. Dan lihatlah bagaimana mereka memperalatkan Adat Perpatih untuk mengelak daripada kebertanggungjawaban, mewujudkan seakan perisai di mana mereka cuba berlindung daripada penguatkuasaan undang-undang.

Kebiadapan melampau individu ini sangat terserlah. Mereka baru saja mengangkat sumpah di hadapan Raja Melayu yang sama yang cuba mereka gulingkan hanya lebih sebulan lalu, dan sebahagian mereka juga menerima darjah kebesaran daripada Yang Dipertuan Besar sama tidak berapa lama dahulu.

Untuk melutut di hadapan seorang Raja Melayu bagi menerima pengiktirafan dan mengangkat sumpah jawatan, hanya untuk berpaling semula dan terlibat secara aktif dalam rampasan kuasa menggulingkan baginda, adalah kemuncak kebankrapan moral dan pengkhianatan politik.

Pelakon-pelakon subversif berkenaan beroperasi di bawah khayalan melampau portfolio pentadbiran negeri kononnya memberi hak untuk mereka memahkota atau menyingkirkan seorang Raja Melayu.

Di Negeri Sembilan, pelantikan eksekutif langsung tidak mempunyai nilai hak kuasa berhubung pewarisan takhta—satu kuasa mutlak yang berakar umbi dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri dan tradisi suci Adat Perpatih.

Exco berfungsi sebagai badan pentadbir menguruskan portfolio negeri, menjalankan kuasa eksekutif semata-mata atas nama Yang Dipertuan Besar. Ia mempunyai sifar bidang kuasa perlembagaan untuk campur tangan dalam institusi Yang Dipertuan Besar.

Dalam krisis yang belum pernah terjadi ini, DKU tegas melaksanakan kuasa tertingginya mengecam gerakan exco sebagai rampasan kuasa tidak berpelembagaan dan satu perbuatan derhaka, mengisytiharkan sebarang cubaan menyingkirkan Yang Dipertuan Besar terbatal sama sekali.

Pengkhianatan itu paling ketara dalam sebuah entiti politik yang platform asasnya mendakwa memperjuang dan membela Raja-Raja Melayu. Sebaliknya, entiti tersebut memilih kepentingan politik, berbanding keluhuran perlembagaan.

Apabila mendalangi atau menyokong penderhakaan ini, mereka telah mendedahkan diri sebagai pengkhianat kepada perjuangan mereka sendiri, menukar kesetiaan yang suci kepada Raja Melayu demi kepentingan politik.

Rampasan kuasa terbabit adalah kempen persepsi direka teliti untuk menghasilkan kekacauan perlembagaan yang direka-reka. Dianjurkan di sebalik pintu tertutup, komplot itu bergantung pada mesej awam yang diselaraskan dan naratif berita sensasi digembar-gemburkan untuk memberi tekanan kepada jentera negeri dan memaksa warta rasmi.

Individu-individu ini tidak tiba di persimpangan dengan tangan yang bersih. Apabila kepentingan komersial peribadi, urus niaga tanah yang meragukan, dan konsesi sumber—seperti yang mengelilingi unsur nadir bumi (REE)—bergabung dengan usaha untuk meruntuhkan ketenteraman perlembagaan, ia menunjukkan sesuatu yang jauh lebih berbahaya daripada ketidakpatuhan mudah: cubaan terancang menggulingkan seorang Raja Melayu demi mengeksploitasi aset negeri di bawah lindungan kekeliruan adat yang palsu.

Di tengah-tengah pergolakan politik ini, penjawat awam Negeri Sembilan mesti terus teguh, setia kepada Raja Melayu, dan penuh komited menegakkan keluhuran Perlembagaan.

Penjawat awam terikat dengan sumpah jawatan rasmi mereka untuk menumpahkan taat setia yang sebenarnya kepada Yang Dipertuan Besar dan kedaulatan undang-undang, bukan kepada ahli politik yang cuba meruntuhkan pihak berkuasa diraja demi cita-cita peribadi. Untuk goyah atau tunduk kepada tekanan politik adalah satu pengkhianatan kepada kepercayaan awam dan tunggak asas pentadbiran negeri.

Gugat Raja Melayu penderhakaan tertinggi

Dari sudut sejarah, di bawah Adat Perpatih, derhaka tidak pernah dianggap ringan. Pepatah adat ‘terbuang ke rimba, dihanyutkan ke laut’ mentakrifkan keterukannya—pesalah menghadapi penarikan gelaran, pemulauan total, dan dibuang negeri. Tradisi tidak pernah bertolak ansur dengan mereka yang memperalatkan adat terhadap kedaulatan Raja Melayu.

Di luar adat, hujah perundangannya sangat jelas tanpa kekaburan. Perlindungan Raja-Raja Melayu termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 71 dan 181(1). Di bawah Seksyen 121 dan 121A Kanun Keseksaan, kesalahan menggugat kedaulatan seorang Raja membawa hukuman berkanun yang berat, termasuk penjara seumur hidup. Digabungkan dengan Akta Hasutan, menggugat seorang Raja Melayu adalah penderhakaan tertinggi di sisi undang-undang persekutuan.

Tambahan pula, daulat itu benar. Lebih kuat oportunis politik berkonspirasi terhadap seorang Raja Melayu yang sah berdarah Raja tulen, lebih kuat tindak balas yang membalas kembali. Kuasa kerohanian dan legitimasi perlembagaan bukanlah alat politik untuk dipermainkan.

Menambahkan lagi kejelasan undang-undang, Jabatan Peguam Negara (AGC) telah mengesahkan secara rasmi bahawa exco dan menteri besar tidak mempunyai sebarang kuasa undang-undang untuk menyingkirkan Yang Dipertuan Besar secara unilateral, serta mengisytiharkan tindakan mereka terbatal sepenuhnya dan tidak berperlembagaan.

Pendirian berwibawa itu memadamkan sebarang sisa legitimasi yang cuba direka konspirator, sekali gus menggariskan jawatan pentadbiran tidak memberi kuasa meruntuhkan kedaulatan undang-undang.

Agensi penguatkuasaan undang-undang persekutuan, AGC, dan institusi negeri mesti bertanya pada diri sendiri: berapa lama lagi penderhakaan yang terang-terangan ini akan dibiarkan tanpa penguatkuasaan undang-undang?

Negeri Sembilan dibina di atas undang-undang, tradisi, dan ketenteraman perlembagaan. Ia tidak boleh diserahkan kepada ahli politik yang cuba bermain sebagai pentabal raja. Penderhakaan telah dinamakan, pelaku telah didedahkan, dan keadilan mesti ditegakkan tanpa rasa takut atau pilih kasih ketika di puncak krisis ini.

Tiada ulasan: