BERNAMA
MARANG: Seorang lelaki maut selepas dipercayai dipukul menggunakan tukul oleh adiknya yang mempunyai masalah mental, dalam kejadian di Kampung Tasek, di sini, hari ini.
Mangsa Mohd Nasir Ismail, 43, yang merupakan anak sulung daripada sembilan adik-beradik, dipercayai mengalami kecederaan parah di kepala dalam kejadian itu.
Ibu mangsa Hasnah Sulong, 63, berkata, dia masih terkejut dengan kejadian itu.
Katanya, ketika kejadian, dia berada di ruang tamu rumah sebelum terdengar jeritan dari bahagian hujung rumah dan diikuti bunyi seperti seseorang dipukul.
“Saya terus memanggil suami Ismail Ibrahim, 80, yang ketika itu berada di luar rumah. Apabila masuk ke dalam rumah, dia nampak Nasir sudah berlumuran darah dan mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tasek, di sini hari ini.
Hasnah berkata, anak keduanya, Affendi, 42, yang mempunyai masalah kesihatan mental, disyaki terbabit dalam kejadian berkenaan.
Beliau berkata, seorang lagi anaknya Rurazmiza, 36, turut cedera pada bahagian belakang akibat dipukul menggunakan tukul ketika cuba meleraikan kejadian itu.
“Rurazmia cuba masuk untuk meleraikan kejadian, tetapi dia turut mengalami kecederaan akibat dipukul,” katanya.
Hasnah yang pernah mengalami strok berkata, kejadian itu mengingatkannya kepada insiden kira-kira 12 tahun lalu apabila suaminya pernah ditikam oleh anak yang sama.
Bagaimanapun, kejadian itu tidak menghalang keluarga berkenaan daripada terus menjaga dan tinggal bersama dengan suspek.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang Superintendan Saari Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan