"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penunggang motosikal disyaki mabuk, rempuh dua peserta KLSCM

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

KUALA LUMPUR: Penunggang motosikal dipercayai mabuk ditahan selepas merempuh dua peserta acara Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) di sini, awal pagi hari ini.

​Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, dua peserta membabitkan seorang lelaki berusia 41 dan wanita berusia 50 tahun mengalami kecederaan.

​”Siasatan awal mendapati penunggang motosikal iaitu seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun bersama pembonceng, seorang lelaki tempatan berusia 19 tahun, melepasi laluan yang ditutup menggunakan kon.

​”Anggota bertugas mengarahkan penunggang untuk berhenti namun suspek cuba melarikan diri dengan menunggang secara melawan arus sebelum melanggar mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

​Menurutnya, mangsa lelaki cedera di bahagian leher manakala mangsa wanita cedera di lutut kanan dan tangan lalu kedua-dua warga tempatan berkenaan dibawa ke hospital bagi menerima rawatan.

​Katanya, saringan awal alkohol terhadap penunggang menunjukkan keputusan positif dengan bacaan pernafasan, EBA sebanyak 164mg.

​”Penunggang dan pembonceng kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi pengambilan sampel darah dan air kencing untuk tujuan siasatan dan ujian lanjut.

​”Penunggang direman tiga hari bermula hari ini hingga 5 Oktober sementara pembonceng dua hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

​Terdahulu tular di media sosial klip video memaparkan pelari KLSC terbaring di atas jalan dikatakan dilanggar sebuah motosikal yang mana penunggangnya dilihat sudah ditahan anggota polis trafik.

Tiada ulasan: