Ersie Anjumin
KOTA KINABALU: Seorang pekerja ladang kelapa sawit dijatuhi hukuman penjara 18 tahun oleh Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, selepas didapati bersalah menyebabkan kematian rakan sekerjanya susulan pertengkaran mengenai wang berjumlah RM20.
Pesuruhjaya Kehakiman, Ratanah Devi Yusof Perumal menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Risdi Baharuddin, 29, membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tertuduh ditahan pada 31 Januari 2025, selain merujuknya kepada Jabatan Imigresen kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
Mengikut pertuduhan, lelaki warga Indonesia itu didakwa menyebabkan kematian Jiecy Rondian dengan niat menyebabkan kecederaan tubuh badan yang berkemungkinan mengakibatkan kematian.
Kesalahan dilakukan antara jam 6 petang hingga 8 malam pada 30 Januari 2025 di kuarters pekerja Ladang Sawit Koperasi Anak-Anak Tempatan Pantai Barat, Jalan Ulu Bongawan, Papar.
Risdi pada mulanya didakwa atas kesalahan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan sebelum mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda.
Berdasarkan fakta kes, pertengkaran tercetus apabila mangsa menyindir Risdi berhubung wang RM20 yang dipinjamnya daripada isteri mangsa.
Walaupun pertengkaran berjaya dileraikan beberapa individu, kedua-duanya kembali bertengkar sebelum Risdi mengambil sebilah pisau berhulu kayu sepanjang kira-kira 27 sentimeter dari bilik tidurnya.
Tertuduh kemudian menerpa dan menikam mangsa beberapa kali walaupun isterinya cuba menghalang perbuatannya.
Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala Risdi melarikan diri sebelum ditahan di Kampung Ulu Lumagar, Bongawan, pada keesokan harinya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lovely Natasha Charles, manakala tertuduh diwakili peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan