"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kebakaran kilang: 24 mayat ditemui, operasi menyelamat disambung hari ini

Reuters
TANGKAP layar daripada rakaman yang disediakan oleh Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia (BASARNAS) menunjukkan anggota penyelamat berjalan melalui bahagian kilang yang musnah dalam kebakaran pada Sabtu. FOTO Handout/BASARNAS/ AFP.
TANGKAP layar daripada rakaman yang disediakan oleh Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan Indonesia (BASARNAS) menunjukkan anggota penyelamat berjalan melalui bahagian kilang yang musnah dalam kebakaran pada Sabtu. FOTO Handout/BASARNAS/ AFP.
Jakarta: Operasi mencari dan menyelamat mangsa kebakaran kilang di Jakarta ditangguhkan malam tadi selepas pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan 24 mangsa maut, manakala puluhan lagi masih hilang.

Kebakaran berlaku pada petang Sabtu di kilang gula dan manisan, PT Fonusa Agung Mulia di Cikande, dalam wilayah Serang. Maklumat di laman sesawangnya menunjukkan kilang itu adalah sebahagian daripada syarikat United Family Food Indonesia yang ditubuhkan pada 1981.

Rakaman Metro TV menunjukkan ahli keluarga mangsa menangis di luar kilang sementara menunggu berita mengenai saudara mereka yang dikhuatiri terperangkap dalam kebakaran itu.

Ketua polis wilayah Banten, Hendra Kurniawan berkata kepada Metro TV bahawa operasi mencari dijadualkan bersambung semula pada pagi ini.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kilang tersebut, Steven Erwin Wijaya dalam satu sidang akhbar memaklumkan terdapat kira-kira 300 orang berada di kilang itu bagi syif hari Sabtu.

Dalam satu kenyataan susulan, pihak kilang memaklumkan bahawa 24 daripada 65 pekerja yang terlibat sudah pulang ke rumah, empat orang sedang menerima rawatan, 29 orang masih hilang, manakala status lapan individu lagi belum dapat dipastikan.

Pada sidang media sama, Wahyu Hidayati, pegawai polis yang bertanggungjawab dalam pengecaman mangsa bencana berkata, kebakaran yang sangat marak menyebabkan mangsa ditemui sukar dikenal pasti melalui pemeriksaan visual.

Susulan itu, usaha dijalankan untuk mengumpul sampel DNA daripada ahli keluarga serta barangan peribadi pekerja yang hilang yang berkemungkinan mengambil masa dua hingga tiga minggu.

Jumlah korban belum dapat dipastikan dengan segera, memandangkan pihak polis memaklumkan bahawa satu beg mayat mungkin mengandungi bahagian tubuh lebih daripada seorang individu.

Pihak berkuasa berkata punca kebakaran sedang disiasat, manakala seorang pegawai menambah sebahagian daripada bangunan itu masih berisiko untuk runtuh.

Tiada ulasan: