Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my

Mohamad Shahrul Nizam dituduh amang anak rakan ibu di atas motosikal dan memiliki pornografi kanak-kanak. FOTO Alias Abd Rani
Muar: Seorang buruh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan termasuk melakukan amang seksual fizikal terhadap budak enam tahun serta memiliki bahan pornografi kanak-kanak.
Tertuduh, Mohamad Shahrul Nizam Abdul Rahman, 20, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak lelaki berusia enam tahun ketika kejadian di kawasan kebun di Segamat, antara Julai hingga Ogos tahun lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki bahan pornografi kanak-kanak iaitu video dalam telefon bimbitnya di sebuah rumah di Segamat, kira-kira jam 1 pagi, 5 November lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 10 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amirah Tasnim Saleh, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat perlu melapor diri di balai polis pada Sabtu pertama setiap bulan.
Tertuduh juga dilarang mengganggu atau berkomunikasi dengan mangsa, ahli keluarganya serta saksi pendakwaan lain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan