Malaysiakini
Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Mohd Shuhaily Mohd Zain kembali bertugas hari ini selepas bercuti selama seminggu.
Menurut kenyataan AKPS, Shuhaily mempengerusikan mesyuarat Commander's Call agensi berkenaan yang ketiga bagi tahun 2026 di Putrajaya, yang menghimpunkan semua pegawai kanan dan komander yang bertugas di pintu masuk negara.
Mesyuarat ini memberi tumpuan kepada Gerak Atur 2027, khususnya dalam memperkukuh hala tuju strategik, kesiapsiagaan operasi serta keberkesanan kawalan dan perlindungan sempadan negara.
“Fokus jelas. Gerak kerja diperkemas. Misi diteruskan. AKPS terus komited memperkukuh kecekapan pengoperasian, integriti dan keselamatan pintu masuk negara,” kata agensi itu.
Pengumuman itu dibuat empat hari selepas Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata kementerian membuat keputusan untuk menamatkan penempatan Shuhaily di AKPS dan ajan mengembalikannya ke pasukan polis.
Saifuddin berkata kementerian membuat keputusan itu pada minggu sebelumnya dan polis akan menentukan penempatan Shuhaily yang seterusnya.
Walau bagaimanapun, Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail berkata pada 30 Okt bahawa penempatan baharu Shuhaily hanya boleh ditentukan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk menamatkan pelantikannya lebih awal di AKPS.
Dia berkata polis sedang menunggu nasihat undang-undang daripada Jabatan Peguam Negara sebelum memohon perkenan Seri Paduka Baginda.
Shuhaily dilantik sebagai Ketua Pengarah AKPS pada 1 Julai 2025 bagi tempoh dua tahun yang berakhir pada 30 Jun 2027.
Cadangan membawa dia semula ke pasukan polis menyusuli penampilannya di mahkamah pada 21 Okt, apabila dia mengaku tidak salah atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 28 Sept.
Dia mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan