"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isu 2.6 juta pekerja asing rosakkan negara jika tidak ditangani segera

Malaysiakini

PARLIMEN l Kerajaan melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan memastikan pelaburan baharu dalam sektor pembuatan tidak bergantung pada pekerja asing atau buruh kasar selaras dengan usaha mentransformasikan industri ke arah aktiviti bernilai tambah tinggi, automasi dan pendigitalan.

Menterinya, Johari Abdul Ghani berkata pendekatan itu merupakan sebahagian daripada langkah untuk menangani kebergantungan berpanjangan industri terhadap pekerja asing, selain meningkatkan produktiviti dan menggalakkan penggunaan tenaga kerja tempatan.

Katanya kerajaan turut memastikan pekerja asing hanya digunakan untuk pekerjaan kategori 3D, iaitu berbahaya (dangerous), sukar (difficult) dan kotor (dirty).

“Mana-mana industri yang datang kepada MITI atau Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), kita akan memberi penerangan bahawa jika syarikat mahu mengambil pekerja asing, tetapi dengan syarat, ia adalah hanya untuk pekerjaan kategori 3D,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Tan Hong Pin (PH-Bakri) mengenai sama ada kerajaan bersedia untuk memberikan kelonggaran dasar kepada syarikat dalam mengambil buruh asing berdasarkan keperluan industri dan perusahaan yang berlainan.

Johari berkata Malaysia kini mempunyai kira-kira 2.6 juta pekerja asing dan kebergantungan industri terhadap tenaga kerja asing masih menjadi cabaran besar yang perlu ditangani secara berperingkat.

Di bawah visi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), katanya kuota guna tenaga sebanyak 80:20 merupakan dasar utama yang mengurangkan kebergantungan pada buruh asing tidak mahir serta mempercepat peralihan industri tempatan ke arah automasi.

“Sekarang ini terbalik, 80 peratus industri memerlukan pekerja asing dan 20 peratus sahaja pekerja tempatan.

“Kita berdepan dengan banyak masalah apabila syarikat yang telah beroperasi selama 10 dan 20 tahun di negara ini masih lagi mahu pekerja asing walaupun kita mempunyai 400,000 tenaga kerja daripada kalangan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Jika kita tidak menyelesaikan dasar ini termasuk isu 2.6 juta pekerja asing (tidak termasuk pekerja asing tanpa izin), ia akan merosakkan negara pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata kerajaan turut memberi perhatian kepada isu gaji yang ditawarkan industri memandangkan sebahagian syarikat masih menawarkan upah rendah kepada pekerja tempatan termasuk graduan TVET.

Johari berkata gaji median sektor pembuatan pada masa ini ialah RM2,775 berbanding sasaran RM4,510 di bawah NIMP 2030.

“Jika pekerjaan ini tidak memberi nilai ekonomi kepada mereka, mereka tidak akan menerimanya,” katanya, sambil menegaskan pekerja tempatan perlu ditawarkan ganjaran yang setimpal dengan kemahiran dan nilai pekerjaan.

Dalam pada itu, katanya kerajaan tidak bercadang memindahkan industri pembuatan berteknologi rendah ke luar negara, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha mentransformasikan dan menaik taraf industri sedia ada secara progresif melalui penerapan teknologi automasi dan pendigitalan.

Katanya antara aktiviti pembuatan yang menjadi sasaran transformasi ialah syarikat yang mempunyai kebergantungan tinggi terhadap tenaga buruh kasar dan proses manual selain mencatatkan produktiviti dan nilai tambah rendah serta menggunakan model operasi berintensifkan buruh berkemahiran rendah.

Bagi menyokong usaha itu, katanya MITI akan menyediakan pelbagai bentuk sokongan termasuk geran, dana dan insentif cukai bagi menggalakkan penggunaan teknologi pintar serta automasi dalam proses pembuatan.

Beliau berkata kerajaan juga akan memastikan proses pemodenan industri tidak menjejaskan ekosistem sedia ada terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), melalui bantuan kewangan dan sokongan teknologi di bawah kerangka NIMP 2030.

Menjawab soalan tambahan Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) mengenai pencapaian terkini dasar NIMP 2030, katanya MITI bekerjasama dengan Jabatan Perangkaan Malaysia untuk memperincikan pengumpulan data sektor pembuatan supaya pencapaian transformasi industri dapat diukur dengan lebih tepat termasuk dalam sektor elektrik dan elektronik, kimia, bahan termaju, aeroangkasa dan penjagaan kesihatan.

Katanya kerjasama itu penting bagi memastikan data yang dikumpulkan mencerminkan perubahan struktur industri serta membantu kerajaan merangka strategi untuk memastikan pelaburan baharu melengkapi aktiviti ekonomi domestik.

- Bernama

Tiada ulasan: