"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penganiayaan ke atas pelanggan yang beragama Islam: Loya tekak tengok ‘bangkai’ ayam

ATIKAH MOHD DALI
Pendedahan terhadap proses penyembelihan ayam bukan perkara baharu sebaliknya telah lama didedahkan dan memerlukan penguatkuasaan tegas pihak berwajib.
JUMAAT lalu, kita dikejutkan dengan berita mengenai sebuah premis di Puchong, Selangor dijadikan lokasi penyembelihan, pemprosesan dan pengedaran ayam segar yang diserbu pihak berkuasa.

Serbuan menerusi Op Taring Chiller itu mendedahkan ayam-ayam hidup di premis tersebut dipercayai melalui kaedah kejutan rendaman air berarus elektrik atau ‘water bath stunning’ sebelum proses penyembelihan dilakukan.

Pemeriksaan awal mendapati kadar voltan elektrik yang digunakan dipercayai terlalu tinggi menyebabkan unggas itu mati serta-merta sebelum disembelih.

Sudah tentu keadaan itu menimbulkan keraguan terhadap aspek pematuhan hukum syarak dan status halal ayam yang diproses di premis berkenaan. Ini kerana, ayam yang sudah mati sebelum disembelih tidak memenuhi syarat penyembelihan halal.

Lebih mengejutkan, ayam yang diproses di premis itu dibekalkan ke pasar raya, kedai runcit dan kedai makan di sekitar Lembah Klang yang turut dikunjungi oleh pelanggan beragama Islam.

Setakat ini, pihak berkuasa termasuk jabatan agama masih melakukan siasatan lanjut ke atas premis yang dimiliki lelaki tempatan berusia 34 tahun itu.

Majoriti rakyat negara ini mengambil ayam sebagai sumber protein. Ayam juga menjadi pilihan utama bagi golongan ibu bapa untuk diberikan kepada anak-anak.

Jarang kita melihat kanak-kanak mengambil ikan dan daging sebagai sumber protein. Jika tiada ayam, pilihan lain adalah telur ayam. Selain mudah didapati, hidangan ayam juga senang dimasak dan menjimatkan masa. Masyarakat kita juga jarang menolak untuk memakan ayam kecuali dalam keadaan tertentu seperti alahan.

Jadi apabila perkara itu didedahkan kepada umum, ramai yang marah dan kecewa dengan pihak yang bersikap sambil lewa dalam aspek penyembelihan ayam.

Bagaimana kita mahu husnuzon (bersangka baik), lebih-lebih lagi pekerjanya adalah warga asing. Keadaan premis juga tidak terurus dan kotor. Isu keraguan terhadap proses penyembelihan ayam bukan perkara baharu.

Sudah tiba masanya pihak berkaitan bertindak tegas terhadap pusat sembelihan yang melanggar peraturan selain melakukan beberapa penambahbaikan untuk kemaslahatan jangka masa panjang antaranya mewajibkan tukang sembelihan dalam kalangan orang tempatan dan beragama Islam.

Selain itu, premis juga mestilah dilengkapi televisyen litar tertutup (CCTV) bagi memudahkan pihak berkaitan melakukan pemantauan. Sebagai pengguna, kita berhak mendapat jaminan produk yang dipasarkan halal itu telah melalui proses yang mematuhi kehendak syarak dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkaitan.

Membekalkan produk yang diragui proses pembuatan atau penyembelihannya merupakan satu penganiayaan ke atas pelanggan yang beragama Islam. Tiada kompromi bagi mereka yang didapati bersalah melanggar undang-undang dengan membiarkan pelanggan memakan ‘bangkai’.

Jangan kerana sikap segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab, orang ramai ragu-ragu untuk membeli ayam. Melihat gambar sahaja sudah membuatkan kita kembang tekak. -KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: