BERNAMA
Kuala Lumpur: Sembilan individu termasuk seorang wanita ditahan susulan kejadian merusuh dipercayai berpunca daripada perebutan kawasan perniagaan di hadapan sebuah kafe di Desa Tun Razak, Sungai Besi, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kesemua suspek berusia 16 hingga 44 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota Unit Rondaan Bermotor (URB) Balai Polis Sungai Besi dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di sekitar lokasi kejadian.
Beliau berkata, polis menerima maklumat berhubung pergaduhan membabitkan sekumpulan individu kira-kira jam 11 malam.
"Siasatan awal mendapati pergaduhan berpunca daripada perselisihan faham berhubung perebutan kawasan perniagaan di kawasan berkenaan.
"Tindakan pantas pihak polis berjaya menahan lapan lelaki dan seorang wanita di sekitar lokasi kejadian termasuk dua suspek utama bagi kes ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Fadil berkata, polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai digunakan kumpulan terbabit semasa pergaduhan itu.
"Kesemua suspek ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata," katanya.
Beliau berkata, semakan mendapati sebahagian besar suspek mempunyai pelbagai rekod kes jenayah dan narkotik.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999, IPD Cheras (03-92050445/465) atau balai polis berhampiran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan