Alias Abd Rani

Pemandu lori direman empat hari selepas disyaki cederakan dan ugut isteri. – Foto NSTP
BATU PAHAT: Seorang pemandu lori direman selama empat hari di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, bagi membantu siasatan kes disyaki memukul dan mengugut isterinya selepas wanita itu keluar menonton konsert bersama lelaki lain di ibu kota, Sabtu lalu.
Perintah reman terhadap suspek berusia 49 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Aimi Nawwar Mohamad Othman bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian berkenaan.
Berdasarkan laporan polis yang dibuat isterinya berusia 42 tahun, kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 pagi semalam apabila suspek menuduh mangsa menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain.
Suspek kemudian dipercayai menampar belakang kepala mangsa sebelum mengacukan sebilah pisau sambil mengugut untuk membunuh wanita itu.
Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di kepala serta calar pada hidung sebelum membuat laporan di Balai Polis Tongkang Pechah di sini, semalam.
Siasatan awal mendapati mangsa yang bekerja di sebuah syarikat penapis air keluar menonton konsert bersama lelaki lain tanpa pengetahuan suspek.
Mangsa turut dikatakan membawa anak perempuannya untuk menemaninya sepanjang menghadiri konsert berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyen 506 kanun sama kerana melakukan ugutan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan