"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jet peribadi terhempas, 9 maut: 'Mayday, Mayday, kami akan terhempas ke tanah!' - Komunikasi terakhir dari kokpit

Reuters
Jalan raya ditutup selepas sebuah jet terhempas pada 1 November 2026 di Greenacres, Florida. Laporan awal menyatakan pesawat itu membawa sembilan individu sebelum terhempas dan terbakar berhampiran kawasan perumahan. Foto Saul MARTINEZ/GETTY IMAGES NORTH AMERICA/AFP
Jalan raya ditutup selepas sebuah jet terhempas pada 1 November 2026 di Greenacres, Florida. Laporan awal menyatakan pesawat itu membawa sembilan individu sebelum terhempas dan terbakar berhampiran kawasan perumahan. Foto Saul MARTINEZ/GETTY IMAGES NORTH AMERICA/AFP
Chicago: "Mayday, mayday, kami akan terhempas ke tanah," itu antara komunikasi cemas terakhir dari kokpit pesawat persendirian jenis Learjet sebelum terhempas di kawasan perumahan di Palm Beach County, Florida, Amerika Syarikat (AS), pada petang Ahad, semalam.

Rakaman komunikasi antara kokpit dan pengawal trafik udara mendedahkan detik cemas pesawat itu ketika mengalami masalah sebelum nahas yang mengorbankan kesemua sembilan individu di dalamnya.

Pada mulanya, kru kokpit memaklumkan kepada pengawal trafik udara bahawa mereka sedang berdepan masalah pembentukan ais, namun berdepan gegaran di udara (turbulens) sederhana dan mencari keadaan penerbangan lebih stabil.

Kurang seminit kemudian, individu itu membuat panggilan 'Mayday, mayday' sambil melaporkan pesawat berkenaan tiba-tiba menjunam pada kadar 10,000 kaki (3,048 meter) seminit.

Beberapa saat kemudian, individu itu mengisytiharkan kecemasan apabila kadar penurunan pesawat meningkat kepada 20,000 kaki (6,096 meter) seminit.

"Kami akan terhempas ke tanah," kata individu berkenaan sebelum memaklumkan, kurang 20 saat kemudian, bahawa kadar penurunan pesawat sudah mencecah 22,000 kaki (6,705.6 meter) seminit ketika mula membelok.

Kira-kira 35 saat selepas panggilan Mayday pertama, perkataan terakhir yang kedengaran dari kokpit adalah "Kami sudah kesuntukan masa," yang diucapkan dengan pantas.

Dalam masa sama, laman penjejakan penerbangan Flightradar24 berkata datanya menunjukkan kadar penurunan menegak pesawat itu pada satu ketika melebihi 32,000 kaki (9,753.6 meter) seminit.

Menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), pesawat berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Austin-Bergstrom di Texas dan menuju ke Lapangan Terbang North Eleuthera di Bahamas.

Video yang dimuat naik di media sosial menunjukkan pesawat itu menjunam ke tanah berhampiran sebatang jalan sebelum meletup.

Sementara itu, Gabenor Florida Ron DeSantis menyifatkan kejadian itu sebagai tragedi besar ketika berucap pada sidang media berhampiran lokasi nahas di Lake Worth Beach.

"Apabila melihat video itu, ia sesuatu yang menggemparkan. Pesawat itu seperti peluru berpandu yang menjunam ke bawah, diikuti letupan besar dengan serpihan berterbangan ke merata tempat," katanya.

Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) pula berkata pihaknya sudah melancarkan siasatan berhubung nahas itu yang disifatkan Setiausaha Pengangkutan, Sean Duffy, sebagai 'tragedi yang mengerikan'.

Kira-kira 600 penduduk di kawasan berkenaan turut dipindahkan dan ditempatkan semula di dua pusat perlindungan di daerah itu.

Menurut badan ramalan cuaca AccuWeather, hujan lebat dan ribut petir dilaporkan berlaku di kawasan berkenaan ketika nahas itu.

Tiada ulasan: