"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Peniaga pakaian diberkas disyaki cabul pelanggan

MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
SUSPEK diiringi polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Gajah, Melaka untuk mendapatkan permohonan reman. Foto MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI/ KOSMO!
ALOR GAJAH – Seorang peniaga pakaian ditahan selepas disyaki mencabul seorang pelanggan wanita yang membeli pakaian di butik miliknya di Masjid Tanah di sini, minggu lalu.

Suspek lelaki berusia 59 tahun itu ditahan kira-kira pukul 10.15 malam di pejabat Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, semalam.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Md. Nazri Zawawi berkata, satu laporan polis telah dibuat oleh pengadu berusia 27 tahun pada 13 Disember lalu mendakwa telah dicabul suspek sewaktu membeli pakaian di kedai milik terbabit.

“Lelaki berkenaan datang menghimpit pengadu yang sedang memilih pakaian membuatkan wanita itu menjarakkan diri kerana berasa tidak selesa.

“Setelah selesai membuat pembayaran, suspek tiba-tiba bertindak mengusap kepala pengadu. Pengadu berasa terkejut lalu melarikan diri dan pulang ke rumah sebelum memberitahu kejadian kepada suaminya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tambah Md. Nazri, saringan ujian air kencing mendapati suspek bebas daripada sebarang penyalahgunaan dadah.

“Suspek juga membuat laporan polis bagi menafikan insiden berkenaan selain mendapati gambar dirinya dan kedai telah tular di Facebook. Suspek direman dua hari sehingga 19 Disember ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Resit hina Islam, polis Johor buka siasatan

Mary Victoria Dass
am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Polis Johor membuka kertas siasatan susulan gambar tular resit pembelian makanan segera yang didakwa mengandungi perkataan menghina Islam.

Ketuanya Datuk M Kumar berkata, resit bertarikh 19 dan 20 Disember itu membabitkan pembelian makanan di restoran makanan segera di Kluang, Batu Pahat dan Muar yang dipercayai dibuat individu sama.

Katanya, sebelum itu pihaknya menerima laporan berhubung kes itu yang membolehkan siasatan lanjut dijalankan, termasuk mengesan suspek.

"Tiga kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis memandang serius sebarang perlakuan yang boleh mengganggu keharmonian, keselamatan dan menyentuh sensitiviti beragama di negara ini.

"Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang ada terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam," katanya.

Lelaki hilang lebih seminggu ditemukan meninggal dunia dalam kereta

FMT Reporters

PETALING JAYA: Kehilangan seorang lelaki berusia 55 tahun di Kuantan sejak 13 Dis lepas terjawab apabila dia ditemukan meninggal dunia di dalam kenderaannya di kawasan parkir sebuah restoran di Sungai Isap, Kuantan, hari ini.

Sinar Harian melaporkan, mayat Safri Mohd Ali ditemukan oleh orang awam dalam keadaan separuh tertunduk di tempat duduk pemandu Perodua Viva tersebut yang didapati berada di lokasi sama selama lebih seminggu.

Ketua Polis Kuantan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pengadu yang menghidu bau busuk dari dalam kenderaan itu mendapati seorang lelaki tidak sedarkan diri di dalamnya.

“Pasukan penyiasat yang tiba di lokasi mendapati mayat berada dalam keadaan membengkak, dipercayai telah meninggal dunia beberapa hari sebelum ditemukan.

“Siasatan awal mendapati tiada unsur jenazah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan.

Kad pengenalan, telefon bimbit dan beg galas milik Safri turut ditemukan di dalam kenderaan tersebut.

Wan Mohd Zahari berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat dan pengecaman telah dilakukan oleh ahli keluarganya.

Terdahulu, Safri dilaporkan hilang sejak keluar dari rumah pada kira-kira 8 pagi 13 Dis lepas dengan memandu sebuah Perodua Viva untuk mengambil ubat di Klinik Kesihatan Kampung Kurnia di Kuantan.

Adiknya kemudian melaporkan kehilangannya pada keesokan harinya di IPD Kuantan.