"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Peniaga pakaian diberkas disyaki cabul pelanggan

MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
SUSPEK diiringi polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Gajah, Melaka untuk mendapatkan permohonan reman. Foto MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI/ KOSMO!
ALOR GAJAH – Seorang peniaga pakaian ditahan selepas disyaki mencabul seorang pelanggan wanita yang membeli pakaian di butik miliknya di Masjid Tanah di sini, minggu lalu.

Suspek lelaki berusia 59 tahun itu ditahan kira-kira pukul 10.15 malam di pejabat Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, semalam.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Md. Nazri Zawawi berkata, satu laporan polis telah dibuat oleh pengadu berusia 27 tahun pada 13 Disember lalu mendakwa telah dicabul suspek sewaktu membeli pakaian di kedai milik terbabit.

“Lelaki berkenaan datang menghimpit pengadu yang sedang memilih pakaian membuatkan wanita itu menjarakkan diri kerana berasa tidak selesa.

“Setelah selesai membuat pembayaran, suspek tiba-tiba bertindak mengusap kepala pengadu. Pengadu berasa terkejut lalu melarikan diri dan pulang ke rumah sebelum memberitahu kejadian kepada suaminya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Tambah Md. Nazri, saringan ujian air kencing mendapati suspek bebas daripada sebarang penyalahgunaan dadah.

“Suspek juga membuat laporan polis bagi menafikan insiden berkenaan selain mendapati gambar dirinya dan kedai telah tular di Facebook. Suspek direman dua hari sehingga 19 Disember ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: