"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki hilang lebih seminggu ditemukan meninggal dunia dalam kereta

FMT Reporters

PETALING JAYA: Kehilangan seorang lelaki berusia 55 tahun di Kuantan sejak 13 Dis lepas terjawab apabila dia ditemukan meninggal dunia di dalam kenderaannya di kawasan parkir sebuah restoran di Sungai Isap, Kuantan, hari ini.

Sinar Harian melaporkan, mayat Safri Mohd Ali ditemukan oleh orang awam dalam keadaan separuh tertunduk di tempat duduk pemandu Perodua Viva tersebut yang didapati berada di lokasi sama selama lebih seminggu.

Ketua Polis Kuantan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pengadu yang menghidu bau busuk dari dalam kenderaan itu mendapati seorang lelaki tidak sedarkan diri di dalamnya.

“Pasukan penyiasat yang tiba di lokasi mendapati mayat berada dalam keadaan membengkak, dipercayai telah meninggal dunia beberapa hari sebelum ditemukan.

“Siasatan awal mendapati tiada unsur jenazah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan.

Kad pengenalan, telefon bimbit dan beg galas milik Safri turut ditemukan di dalam kenderaan tersebut.

Wan Mohd Zahari berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat dan pengecaman telah dilakukan oleh ahli keluarganya.

Terdahulu, Safri dilaporkan hilang sejak keluar dari rumah pada kira-kira 8 pagi 13 Dis lepas dengan memandu sebuah Perodua Viva untuk mengambil ubat di Klinik Kesihatan Kampung Kurnia di Kuantan.

Adiknya kemudian melaporkan kehilangannya pada keesokan harinya di IPD Kuantan.

Tiada ulasan: