"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Kuasa Speaker tidak boleh dicabar' - Nizar

Azamin Amin 
FELCRA SERIGALA, SLIM RIVER, 22 Feb (Hrkh)
 - Tanpa diduga, bidang kuasa Speaker yang luas pernah 'dicipta' dan diguna-pakai oleh Barisan Nasional (BN) selama 50 tahun khususnya membabitkan negeri Perak,akhirnya telah 'memakan diri' apabila kuasa yang sama dilaksanakan untuk mengenakan tindakan gantung 18 dan 12 bulan ke atas Menteri Besar baru dan enam exco kerana didapati menghina Dewan.

                                                                                 Demikian dinyatakan Menteri Besar Perak Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin dalam ceramahnya kepada lebih 1,000 penduduk dan pengundi Dun Behrang di Felcra Kg Serigala dekat sini semalam.

Dengan pengantunggan itu katanya kerajaan BN yang hanya mempunyai 21 ahli dewan boleh dianggap 'lumpuh' apabila majoriti kerusi kini diperolehi oleh Pakatan Rakyat yang mempunyai kelebihan kesemuanya berjumlah 28, yang secara tidak langsung menunjukkan Kerajaan Pakatan Rakyat adalah yang sah memerintah negeri ini.

Apatah lagi, sekiranya sidang Dun tidak dilakukan pada Mei ini, maka secara automatik pembubaran DUN sekaligus menyaksikan pilihan raya diadakan di seluruh negeri Perak.

"Hari ini, kalau kami nak gulingkan kerajaan baru pun sudah boleh...tetapi kita ini ikut undang-undang dan peraturan. Bukan macam mereka merampas dengan cara penuh jijik.

"Mereka lupa, kuasa besar dan tinggi yang BN pernah berikan kepada Speaker 50 tahun dahululah kita guna balik ikut peraturannya," kata Nizar dengan penuh semangat sambil menggesa para pengundi menolak Umno dan BN dalam pilihan raya yang akan datang.

Nizar sekali lagi menegaskan kepada hadirin bahawa beliau adalah Menteri besar yang sah, yang dilantik Sultan dan tidak menerima sebarang pembatalan ke atas jawatannya itu.

"Saya masih menyimpan Watikah yang sah, yang tidak pernah pun dibatalkan oleh sesiapa. Watikah itu di atas lantikan Sultan dan disaksikan sendiri oleh Hakim Mahkamah Tinggi," katanya yang merupakan Adun Pasir Panjang.

Beliau menjelaskan jawatannya itu akan terbatal atau terlucut hanya melalui tiga cara iaitu, Perletakan jawatan secara sukarela, Pembubaran DUN dan Undi tidak percaya ke atas dirinya.

Sebelum itu beliau mencabar Umno-BN untuk berhadapan secara 'jantan' dalam pilihan raya dan bukannya melakukan kerja-kerja yang tidak beretika yang disifatkan sebagai pengecut dan melalui pintu belakang tanpa mengambil kira hak rakyat untuk memilih kerajaan sedia ada.

"Umno penakut. Takut kalah macam di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu sebab itu mereka rampas kuasa.

"Kami anak jantan, sangup berdepan dengan mereka dengan apa jua keadaan pun!" lantang suaranya dengan di sambut sorakan, laungan takbir dan tepukan gemuruh hadirin.

Sambil mencebis ayat al-Quran yang berbunyi antaranya:" Mereka merancang tipu daya, Allah juga lebih hebat perancangan tipu daya-Nya," katanya dan menyeru kepada para penyokong supaya tidak melakukan sebarang provokasi dan terjebak dengan hasutan pihak-piahk yang tidak bertanggungjawab.

Sebelum itu, ceramah yang dimulai jam 9.00 malam anjuran Markas PAS Kg. Serigala ini turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Hulu Selangor Dato' Zainal Abidin, Adun Gopeng Lee Boon Chai, Adun Sungkai Sivaratnam dan Setiausaha Politik MB, Misbahul Munir.

Kehadiran luar biasa orang ramai yang disertai oleh puluhan masyarakat kaum Cina dan India menunjukkan sokongan padu terhadap kerajaan Nizar masih utuh dan mantap.

Biarpun, terpaksa melalui dua sekatan jalan raya oleh pihak berkuasa, meletakkan kenderaan sejauh satu kilometer dan terpaksa berjalan kaki jauh ke pelusuk kampung, namun masyarakat setempat masih terus berpusu-pusu memenuhi pekarangan markas PAS itu untuk mendengar amanat dan kata-kata semangat daripada Nizar dan rakan seangkatannya.

Turut menarik perhatian di markas itu digantung sehelai kain rentang yang bertulis:" Ya-Allah, Ya Tuhanku. Engkau berikanlah pengajaran pada Jamaluddin pengkhianat yang telah mengkhianati manah pengundi-pengundi Dun Behrang. Amin."

Nizar sebelum mengakhiri ucapannya selama satu jam itu menggesa supaya penyokong dan ahli Umno meninggalkan parti itu yang terang-terang melakukan penyelewengan dan kezaliman kepada rakyat, sehingga sanggup merampas hak rakyat yang telah memberi mandat kepada kerajaan Pakatan Rakyat untuk memerintah negeri ini.

Beliau memetik surah al-Haj yang bermaksud:" Jangan sesekali kamu cenderung kepada kezaliman, nanti kelak kamu akan di sambar api neraka..."katanya memberi ingatan kepada penyokong kepada kemungkaran dan kezaliman.

"Esok (hari ini) saya akan tinggalkan kediaman rasmi Menteri Besar jam 11.00 pagi. Biarlah mereka nak ambil rumah itu sebab bukan itu kita rebutkan. Yang penting adalah amanah 2.4 juta rakyat Perak kepada kita untuk menjalankan tanggungjawab,"katanya sambil disambut laungan takbir orang ramai.

Majlis bersurai secara aman kira-kira 12.30 tengah malam tadi biarpun berlaku kesesakan jalan raya akibat kenderaan yang terlalu banyak di sisi jalan berhampiran kawasan ceramah tersebut.

Tiada ulasan: