"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tol Salak Selatan Besraya dimansuhkan

Kutipan tol di Plaza Tol Salak Jaya di Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) di ibunegara di kedua-dua arah, dimansuhkan mulai 12.30 tengah hari ini, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Mohd Zin Mohamed.

Katanya, pemansuhan tol itu sepatutnya berkuatkuasa 1 Mac depan, bagaimanapun Besraya (M) Sdn Bhd bersetuju memansuhkan kutipan tol empat hari lebih awal.

 "Pemansuhan kutipan tol ini akan bermula sejurus selepas ini, walaupun secara rasmi ia bermula 1 Mac depan...persetujuan untuk memansuhkan tol ini empat hari lebih awal dari sepatutnya atas ehsan Besraya (M) Sdn Bhd.

"Kira-kira 50,000 pengguna lebuhraya termasuk penduduk Pekan Sungai Besi, Kampung Malaysia, Kuchai Lama, Taman Salak Selatan dan Kampung Baru Salak Selatan akan menikmati jalan tanpa tol dari Jalan Istana ke Pekan Sungai Besi," katanya pada majlis pemansuhan tol tersebut hari ini, lapor Bernama.

Beliau berkata kedudukan plaza tol yang tidak strategik itu memaksa pergerakan trafik tertumpu di kawasan Kuchai Lama dan Pekan Salak Selatan kerana pengguna lebuhraya lebih suka memilih jalan bebas tol sehingga menyebabkan kesesakan berlaku di kawasan tersebut.

"Lokasi plaza tol itu juga memisahkan dua kawasan yang berhampiran iaitu Taman Salak Selatan dan Kampung Baru Salak Selatan.

Kurangkan kesesakan

Sehubungan itu, katanya, keputusan menutup plaza tol berkenaan dapat meringankan bebanan pengguna Besraya terutama penduduk di kawasan berhampiran yang perlu membayar tol sehala sebanyak RM1.30 sejak Mei 1999.

Sementara itu, Mohd Zin berkata kerajaan akan melaksanakan pembinaan lebuhraya sambungan Besraya dari Jalan Lingkaran Tengah II (MRR2) ke Jalan Istana dan arah selatan sepanjang 12 kilometer dengan kos projek dianggarkan RM649 juta bagi mengurangkan kesesakan di selatan Kuala Lumpur.

Mohd Zin berkata projek itu akan diberikan kepada syarikat Besraya sebagai kerja tambahan dan pembinaan akan dilaksanakan secara tender yang diuruskan 
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Katanya, pembinaan projek itu akan dilaksanakan segera yang dijangka mengambil masa selama tiga tahun dan projek itu secara langsung dapat merangsang aktiviti ekonomi selain menjana pertumbuhan kawasan sekitar.

Menurutnya antara faedah lebuh raya sambungan itu adalah mengurangkan kesesakan di Jalan Lingkaran Tengah1 (MRR1) dan MRR2 yang kini melebihi had kapasiti 100 peratus kawasan meliputi Jalan Istana, Jalan Ampang, Jalan Loke Yew, Jalan Cheras dan Jalan Tun Razak.

"Lebuh raya itu sebagai laluan alternatif pada waktu kesesakan bagi trafik dari timur Kuala Lumpur ke selatan Kuala Lumpur atau sebaliknya dan jalan pintas untuk ke selatan tanpa melalui Jalan Tun Razak," katanya.                                                              -malaysiakini-

Tiada ulasan: