"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS Selangor sentiasa berdiri di belakang Tan Sri MB


Benarkah PAS Selangor tidak berdiri di belakang MB Selangor dalam pertuduhan “salah guna kuasa” yang melibatkan beliau yang kini hangat diperkatakan?

Saya menjangkakan isu ini dimainkan ekoran kenyataan media yang dibuat oleh PAS Selangor baru-baru ini. Mungkin tidak ramai (barangkali termasuk ahli dan pimpinan PAS) yang berpeluang membaca sepenuhnya kenyataan dua muka itu, kerana apabila sampai ke media ianya ditebuk dan diceduk mana yang ada “selling value” atau nilai jual sahaja. Malanglah juga kerana media resmi PAS pun tidak memilih untuk menyiarkan sepenuhnya kenyataan ini.

Kenyatan penuh itu boleh didapati di laman web PAS Selangor di
http://selangor.pas.org.my/index.php?option=com_content&task=view&id=335&Itemid=1

Kalau kita baca perenggan pertama dan kedua kenyataan itu sudah dapat menyanggah persoalan yang saya lontarkan di atas: Benarkah PAS Selangor tidak berdiri di belakang MB Selangor? Ia berbunyi:

PAS Selangor ingin merakamkan rasa simpati terhadap apa yang dilalui oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bersama dengan keluarga khususnya yang berkaitan dengan pertuduhan salahguna kuasa seperti yang dilaporkan kelmarin.

PAS Selangor sentiasa berdiri dibelakang Tan Sri untuk mewujudkan pentadbiran negeri yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab. Adalah amat malang pertuduhan itu terkena kepada Tan Sri sendiri yang tidak jemu-jemu mengingatkan ahli EXCOnya supaya pada setiap ketika mengamalkan prinsip-prinsip ketelusan dan keamanahan itu.

Media perdana hanya fokus pada nasihat yang dimuatkan dalam kenyataan itu iaitu di baris-baris akhirnya yang berbunyi:

Seandainya kes ini membawa kepada pertuduhan di mahkamah, atas dasar untuk menjulang kewibawaan pentadbiran negeri dan kestabilan politik dikalangan anggota komponen, adalah wajar bagi Tan Sri Khalid mengambil langkah-langkah yang difikirkan munasabah demi menjaga imej kerajaan negeri disamping tidak menganggu proses perjalanan undang-undang.

Kenyataan PAS Selangor ini bukan kenyataan peribadi mana-mana pemimpin tetapi ia dibuat dengan kehadiran pimpinan terkenan parti termasuklah para ulamak dan pimpinan Pemuda dan Muslimat. Yang pentingnya PAS percaya yang MB Selangor tidak terbabit dengan pertuduhan ini dan besar kemungkinan akan berjaya menerobosinya. Namun sebagai rakan nasihat-menasihati adalah penting kerana kita memiliki amanah untuk memimpin seluruh negeri.

Kemudian ada pula pihak mengatakan seolah kenyataan Presiden PAS bercanggah dengan kenyataan PAS Selangor, dimanakah percanggahannya? Dalam temuramah video itu Dato Seri Tuan Guru menyatakan:

Kita tetap memelihara setiakawan dan perpaduan Pakatan Rakyat. Dan kita akan mempertahankan Menteri Besar kita. Semua Pas bergantung dengan pandangan PAS Pusat. Pakatan diteruskan, perpaduan kita teruskan.


Malah Dewan Harian PAS Selangor telah pun mengunjungi Presiden PAS Isnin lepas untuk menjelaskan keadaan di Selangor, tidak ada pula sebarang percanggahan yang dapat dilihat dalam kemesraan pimpinan negeri dan Pusat itu.

PAS Selangor tetap mempertahankan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang sama-sama ia bentuk. Sebarang usaha atau agenda untuk meruntuhkannya dengan cara yang tidak demokratik dikutuk sekeras-kerasnya. Dalam kenyataan yang dimaksudkan PAS Selangor menegaskan:

PAS Selangor mengutuk dengan sekeras-kerasnya segala usaha menumbangkan kerajaan negeri dengan berselindung disebalik isu-isu yang berkaitan dengan keamanahan padahal langkah-langkah tersebut mempunyai agenda tersembunyi. PAS Selangor sebaliknya mengalu-alukan usaha badan-badan penguatkuasaan undang-undang seperi SPRM menyiasat segala aduan yang ada kaitannya dengan persoalan integriti dan keamanahan atas pinsip "without fear and favor" dan tidak mendakwa secara berpilih-pilih.

Jangan ada mana-mana pihak cuba melaga atau mengeruhkan hubungan baik antara PAS dan Pakatan Rakyat atau antara pimpinan PAS dengan pimpinan PKR dan DAP negeri termasuklah MB Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim. Dan diharapkan penyokong-penyokong Pakatan juga termasuklah ahli-ahli Pas jangan mudah terperangkap oleh suasana sehingga kita menyerang kawan dan membantu musuh.

Kerajaan Pakatan Selangor insyallah dengan majoriti yang selesa akan dapat bertahan sehingga tamat tempohnya, yang penting ia terus menjungjung, mempertahan dan memperjuangkan prinsip-prinsip yang telah sama-sama ia sepakati sehingga diberi mandate yang besar ini oleh rakyat. Demikianlah yang ditegaskan oleh kenyataan Dewan Harian PAS Selangor itu yang berbunyi:

a) Bersama dengan komponen parti Pakatan Rakyat mempertahankan hasrat dan kehendak Menteri Besar Selangor untuk meletakkan negeri di atas kerangka bersih, amanah, telus dan berintegriti;
b) Bersama dengan komponen parti Pakatan Rakyat menuntut supaya tidak berlaku pendakwaan secara berpilih-pilih;
c) Supaya Menteri Besar Selangor tidak menjadi mangsa kerakusan mana-mana pihak untuk mengganggu gugat kestabilan negeri Pakatan Rakyat;
d) Supaya Pakatan Rakyat bertambah kukuh dan Selangor terus menjadi negeri di barisan hadapan dalam mempertahankan prinsip-prinsip ketelusan dan keadilan


Insyallah asas penubuhan PAS (sebagaimana terkandung dalam Muqaddimah Perlembagaannya) akan terus sama-sama kita pertahankan demi mengemudi bahtera perjuangan yang besar dan mencabar ini. Apakah yang disebut dalam Muqaddimah itu? Bahawa PAS ditubuhkan:

Demi untuk menyempurnakan TAQWA kepada ALLAH dan kebaktian kepada semua manusia yang dijadikan bagi menegakkan ALAMRU BIL MA’RUF WAN NAHYU ANIL MUNKAR dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara.                                                                   http://n32.blogspot.com/

Tiada ulasan: