"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isu DUN Penanti: Bekas Ketua Pemuda PAS sedia hadapi tindakan

PETALING JAYA: Bekas Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang, Mohd Hafiz Mohd Nordin berkata beliau sedia untuk berhadapan dengan kepimpinan PAS Pusat jika diminta berbuat demikian bagi menyelesaikan pertikaian berhubung calon Pakatan Rakyat untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.

Bagaimanapun beliau berkata, hingga kini beliau belum dipanggil oleh mana-mana pemimpin peringkat Pusat bagi memberikan penjelasan berhubung gesaan Pemuda PAS Pulau Pinang yang mahukan calon PAS bertanding pada pilihan raya kecil itu nanti.

"Saya sangat bersedia untuk dipanggil jika PAS Pusat mahukan penjelasan daripada saya berhubung permintaan akar umbi ini.

"Namun hingga kini belum ada apa-apa reaksi daripada PAS Pusat...tapi saya memang sudah bersedia," katanya kepada mStar Online.

Sebelum ini, Mohd Hafiz yang melepaskan jawatannya pada muktamar sayap parti itu hari ini dengan tegas meminta pucuk pimpinan PAS mengkaji semula keputusan tidak meletakkan calon mereka pada pilihan raya kecil DUN Penanti pada 31 Mei ini.

Kerusi DUN Penanti kosong berikutan peletakan jawatan penyandangnya Mohammad Fairus Khairuddin, 33, daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 16 April lalu.

Bagaimanapun Mohd Hafiz sekali lagi menegaskan desakan tersebut bukan didorong oleh kehendak peribadi sebaliknya berdasarkan kehendak dan permintaan pengundi Penanti.

"Sekali lagi saya nak jelaskan, kami bukan minta kerusi Penanti diberikan kepada Pemuda PAS, tapi kami mahu PAS yang bertanding di kerusi berkenaan.

"Cara bekas bekas YB (Yang Berhormat) Fairus letak jawatana amat tidak disenangi oleh pengundi Penanti.

"Pengundi sangat tak puas hati dengan tindakan beliau itu, jadi atas dasar itu suara akar umbi mahukan PAS bertanding di Penanti," katanya.

Dalam pada itu Mohd Hafiz juga berkata, Pemuda PAS Pulau Pinang hari ini turut meluluskan usul tergempar supaya PAS bertanding pada pilihan raya kecil Penanti.

"Pada muktamar Pemuda PAS hari ini, kepimpinan pemuda negeri sebulat suara meluluskan usul tergempar supaya PAS Pusat mempertimbangkan agar PAS meletakkan calon bertanding mewakili Pakatan Rakyat di Penanti," katanya.

Jelas beliau usul berkenaan dibuat sebagai langkah susulan kempimpinan PAS negeri yang mahukan pucuk pimpinan parti mengkaji semula perjanjian dalam Pakatan Rakyat berhubung keputusan memperuntukan kerusi untuk bertanding di DUN Penanti.

-mstar.com.my-

    Tiada ulasan: