"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Timbalan Presiden: Mohammad Sabu tidak cadang tarik diri


KUALA LUMPUR: Walaupun cadangan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden PAS dikhususkan kepada ulama semakin di perkatakan menjelang pemilihan pucuk pimpinan di muktamar agung parti itu akan datang, salah seorang calon untuk jawatan tersebut, Mohammad Sabu tidak bercadang untuk menarik diri.

Mohammad yang telah mengesahkan untuk bertanding jawatan timbalan presiden PAS beberapa minggu lalu merupakan aktivis sepenuh masa parti yang bukan dari kumpulan ulama.

Ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Mobilisasi Demokrasi di pejabat Agung PAS hari ini, Mohammad berkata keputusannya (untuk bertanding timbalan presiden) tidak berganjak sama sekali.

"Saya akan bertanding dan tidak bercadang untuk tarik diri," kata beliau yang juga naib presiden PAS.

Berhubung anggapan sesetangah ahli PAS bahawa jawatan nombor satu dan dua dalam PAS perlu diisi oleh ulama selaras dengan dengan konsep Kepimpinan Ulama yang diperkenalkan parti itu, Mohammad berkata beliau sangat memahami konsep tersebut.

"Saya juga terlibat (sebagai exco pemuda PAS) ketika pemuda PAS membincangkan Kepimpinan Ulama dalam muktamar pemuda pada tahun 1982 di Bukit Mertajam bersama (Datuk) Mustapha Ali, Subky Latif dan exco-exco pemuda PAS yang lain," kata beliau.

Justeru kata Mohammad, beliau yakin tindakannya untuk bertanding jawatan nombor dua dalam PAS tidak bertentangan dengan konsep Kepimpinan Ulama itu sebagaimana yang beliau fahami.

Mohammad merupakan salah seorang pemimpin PAS yang paling banyak mendapat pencalonan untuk bertanding jawatan timbalan presiden daripada kawasan-kawasan PAS seluruh negara yang telah bermesyuarat selain penyandang jawatan itu, Nasharuddin Mat Isa dan seorang lagi Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.

Konsep Kepimpinan Ulama diperkenalkan pada tahun 1982 dalam muktamar pemuda PAS dan kemudiannya dibentangkan dalam muktamar Agung PAS pada tahun yang sama seterusnya diluluskan.

Walaupun begitu, Perlembagaan PAS tidak menetapkan bahawa jawatan presiden dan timbalan presiden mesti dilantik dari kalangan ulama.

Bagaimanapun dalam perkembangan terbaru, timbulnya pandangan dari kalangan sesetangah ahli parti supaya jawatan presiden dan timbalan dikhususkan kepada kumpulan ulama sahaja.

Ekoran itu, konsep Kepimpinan Ulama kini menjadi isu hangat yang diperdebatkan dalam PAS serta memperlihatkan berlakunya perbezaan pandangan secara terbuka dikalangan pemimpin PAS.

Siasah turut difahamkan, satu usul untuk meminda perlembagaan PAS supaya jawatan presiden dan timbalan presiden dikhaskan kepada ulama turut akan dikemukakan ekoran perkembangan tersebut.

Tiada ulasan: