"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mohd Sabu Ditangkap

Jln Pahang K.L, 6 Mei. Pemimpin lantang PAS, Mohamad Sabu ditangkap secara kasar oleh sekumpulan anggota polis ketika beliau dan Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub berada di hadapan Restoran Haslam, Jalan Pahang Barat pukul 3 petang tadi.

Menurut Salahuddin, Naib Presiden PAS itu diberkas oleh kira-kira sepuluh anggota polis yang menaiki kereta Camry dan Perdana gelap  dipercayai dari cawangan Khas.

Beliau diheret ke dalam kereta dengan diperhatikan oleh orang ramai sebelum kereta tersebut memecut ke destinasi yang tidak diketahui.

"Saya sendiri ditangkap dan dihumban ke tepi jalan secara biadap oleh anggota polis. Saya bertanyakan sama ada mereka membawa waran untuk menangkap Mohamad Sabu dan mereka menjawab tidak ada.

"Walaupun saya membantah tindakan mereka saya pula ditangkap dan dihumban begitu rupa ditepi jalan," kata Salahuddin ketika dihubungi Tv Antara.

Beliau berkata Mohamad Sabu tidak dapat dihubungi ketika ini dan beliau akan mengadakan perbincangan dengan penasihat undang-undang PAS, Mohamed Hanipa Maidin bagi tindakan selanjutnya.

Salahuddin menyifatkan tindakan polis itu sebagai tidak bertamadun dan tidak menolak kemungkinan penangkapan itu ada kena mengena dengan sidang Dewan Undangan Negeri Perak yang berlangsung esok.  
 
Mohamad Sabu dikatakan terlibat dengan perhimpunan munajat yang akan dianjurkan subuh 7 Mei, bersempena persidangan DUN.

Penangkapannya dibuat sehari selepas penahanan aktivis Bersih, Wong Chin Huat dirumahnya semalam.

Hari ini juga seramai lima orang aktivis Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) ditangkap dihadapan kompleks pejabat Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya apabila cuba menghantar kek hari jadi Altantuya kepada Najib Razak sempena ulangtahun mendiang wanita Monggolia itu yang jatuh hari ini, laporan 
TVAntara.

Sementara itu isteri pemimpin PAS itu, Normah Alwi berkata seorang pegawai polis berpangkat ACP menghubunginya petang ini dan memaklumkan bahawa Mohamad akan dibawa ke Slim River, Perak untuk ditahan reman esok.

"Benda (program solat hajat) belum jadi, kenapa tangkap?" Awal malam ini, polis mengesahkan telah menahan Mohamad jam 3.15 petang tadi dengan alasan "mendorong orang ramai dan penyokong

PAS berkumpul di Ipoh" sempena persidangan DUN Perak, esok.

Ketua Polis Perak Datuk Zulkifli Abdullah bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana beliau ditahan di Kuala Lumpur, lapor
Bernama.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin turut mengesahkan mengenai penahanan Mohamad Sabu.

"Saya boleh sahkan mengenai penahanan beliau tetapi sebarang maklumat rujuk pada ketua polis Perak," katanya kepada agensi berita itu.

Dalam perkembangan berkaitan, sekumpulan penyokong Mohamad berkumpul di Dataran Merdeka bagi menyatakan sokongan kepadanya mulai 8 malam. 
Bagaimanapun perhimpunan tersebut tidak menjadi kenyataan selepas polis mengawal ketat, termasuk menutup jalan, sekitar kawasan tersebut. Dipetik dari Malaysiakini.

 

Tiada ulasan: