"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Persepsi salah tentang pemilihan PAS boleh bawa padah?

Ahmad Lutfi Othman 
BUKAN suatu perkara pelik apabila akhbar-akhbar harian yang dikawal mutlak Umno terus memainkan jarum halus untuk mengadu-domba pemimpin PAS menjelang pemilihan parti awal Jun depan. Bagi Umno-BN, yang kini melewati zaman paling sukar, kesepaduan seteru terdekat mereka itu harus dipecah-belahkan, sambil mempertajamkan lagi apa-apa perbezaan pendapat sesama parti dalam Pakatan Rakyat.

Di zaman media baru seperti laman web dan blog menjadi fenomena, maka segala idea, pandangan dan informasi mudah dikongsi oleh khalayak lebih besar dalam waktu paling singkat. Jika internet berjaya dimanfaatkan sepenuhnya untuk menggugat hegemoni Umno, tidak mustahil kemudahan yang sama boleh menggegarkan ketahanan dalaman parti Pakatan Rakyat. Justeru, segala "kudis" sukar untuk disembunyikan lagi, malah mungkin akan didedahkan kepada publik oleh anggota parti sendiri.

Berlumba-lumba melakukan kebaikan

Seperti saya tekankan dalam tulisan lalu, adalah lumrah untuk rakan-rakan dalam akhbar lain untuk memburu scoop dengan "membongkar" cerita-cerita "ribut dalam cawan", yang mahu disamakan mereka dengan konflik dan komplot serius dalam pemilihan Umno. Sedangkan usaha menawarkan diri atau "berlumba-lumba melakukan kebaikan", dengan bersedia menjadi calon untuk mana-mana jawatan yang diperuntukkan dalam perlembagaan parti, sepatutnya dilihat daripada kacamata positif.

Meskipun sering dipertegaskan bahawa proses pemilihan dalam PAS - termasuk untuk jawatan no. 2, yang sebenarnya acapkali dipertandingkan sejak tiga penggal lalu - tidak sama sekali melambangkan berlakunya krisis kepimpinan atau pertembungan antara kelompok, namun ia tidak seharusnya membawa mesej salah kepada masyarakat awam.

Harus diingat, PAS kini adalah sebuah parti yang begitu diperhatikan, khususnya selepas menang besar dalam pilihan raya 1999 dan melonjak tangkas dalam pilihan raya 2008. Rakyat yang sudah cukup muak dengan gejala rebutan kuasa dalam Umno tentunya mahukan satu kelainan dan pemurnian dalam amalan demokrasi, yang dimulakan oleh proses pemilihan dalaman parti.

Cukup dibimbangi jika persepsi ramai terhadap gembar-gembur "pertelingkahan golongan ulama-profesional" itu dapat mempengaruhi rakyat untuk memandang negatif parti yang diharap dapat mengungguli budaya "politik baru". Benar, apa yang berlaku dalam PAS hanyalah proses biasa rutin pemilihan yang langsung tidak berupaya merobek kesatuan sesama ahli dan pimpinan, tetapi, seperti ditekankan tadi, kita harus mengelak daripada menyampaikan apa jua mesej yang salah, walaupun secara tidak langsung, kepada publik.

Muak dengan tradisi buruk Umno

Rakyat sudah lemas dengan budaya rasuah politik, skandal seks, cantas-mencantas, fitnah-umpat dan kehidupan mewah memperaga kesombongan yang berkembang-biak dalam Umno. Sokongan luar biasa, khususnya di kalangan bukan Melayu, terhadap parti-parti pembangkang pada Mac 2008 (ketika itu belum pun dibentuk Pakatan Rakyat) lebih kepada penolakan mereka terhadap keangkuhan Umno-BN yang memperbodohkan rakyat, dengan segala elemen menjijikkan di dalamannya, terutama amalan korupsi, kronisme dan nepotisme.

Ramai beranggapan pengundi dalam pilihan raya alalu tidaklah begitu "menyayangi PAS, KeADILan mahupun DAP"; mereka hanya mahu memberi peluang buat pakatan pembangkang menampilkan keupayaan membuktikan segala tawaran selama ini, selepas kecewa dengan prestasi lebih 50 tahun BN, dan sebelumnya Perikatan, memerintah.

Rakyat yang menjatuhkan BN di empat negeri, selain Kelantan, adalah golongan yang terbukti prihatin dan peka dengan lingkungan politik mereka, yang mana mereka juga akan menggunakan kuasa keramat undi untuk menggugat Pakatan Rakyat jika amanah itu dikhianati.

Dan dalam politik, kadang-kadang ia tidak perlu menunggu isu yang terlalu besar sebelum kuasa bertukar tangan, tetapi cukuplah dengan persepsi negatif yang dikumpulkan daripada mesej salah yang rakyat terima. Oleh itu, cermat dan berhati-hatilah .... 

Tiada ulasan: