"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Satukan kaum Melayu berpecah empat antara fokus Ahmad Maslan

CABARAN... Ahmad Maslan memikul tanggungjawab Ketua Penerangan Umno yang baru ketika parti sedang melalui situasi getir dan penuh cabaran selepas pilihan raya umum ke-12, 8 Mac 2008.

'TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu'...itulah pepatah yang begitu sesuai dengan Ketua Penerangan Umno yang baru, Ahmad Maslan, 43.

Nama beliau bukanlah antara nama yang disebut-sebut untuk menjawat jawatan itu. Namun pelantikannya oleh Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada 24 April lalu bukanlah sesuatu yang boleh dipertikaikan memandangkan beliau sememangnya sudah lama terbabit dalam jentera penerangan Umno sebelum ini.

Pelantikannya dalam saf Kabinet baru sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Felda dan Biro Tatanegara juga menunjukkan beliau sememangnya mendapat kepercayaan yang begitu besar daripada Najib

Dalam temu bual dengan mStar Online, Ahli Parlimen Pontian ini menyifatkan pelantikannya sebagai Ketua Penerangan Umno dan Timbalan Menteri dalam Kabinet Najib sebagai "tuah dan amanah."

"Ia antara tuah dan amanah. Memang begitulah nampaknya dan saya amat menghargai dan bersyukur atas amanah yang diberi serta menerima dengan tawaduk.

"Saya kira daripada pengalaman sudah-sudah, saya akan dapat melaksanakannya dengan bantuan semua pihak. Nampaknya ia (kerjaya politik) melonjak begitu dan hakikatnya adalah untuk meremajakan Umno dan kerajaan," kata beliau.

Mengenai cabaran, Ahmad menggariskan dua aspek yang beliau akan beri penekanan.

Pertama menyatupadukan kembali orang Melayu yang telah berpecah empat iaitu Melayu Umno, Melayu PAS, Melayu PKR dan Melayu atas pagar.

"Cabaran utama adalah menyatukan Melayu sebagai bangsa induk selain mengakui hakikat kita bersama-sama dengan kaum Cina, India dan Bumiputera lain," ujar beliau.

Cabaran kedua, bagi beliau, adalah menarik semula sokongan khususnya daripada kaum Cina dan India.

"Mereka pernah menyokong kita secara majoriti dan mereka juga mengemukakan pandangan tertentu kepada kerajaan. Kita menghormati pandangan itu dan akan mengembalikan sokongan mereka kepada BN," jelas Ahmad.

BERIKUT SEDUTAN TEMU BUAL DENGAN AHMAD MAZLAN:

Boleh YB ceritakan sedikit latar belakang YB dan bagaimana terlibat dalam bidang politik?

AHMAD MASLAN Saya berasal dari Benut, Pontian. Saya datang dari sebuah kampung yang serba kekurangan yang mana hanya pada tahun 1996, kampung saya mendapat kemudahan elektrik, air, jalan raya dan telefon. Bayangkan saya bersekolah daripada tahun 1973 hingga 1978 (tanpa kemudahan). Sebelum pergi ke sekolah, saya menoreh getah dan pernah bekerja di ladang kelapa sawit.

Seterusnya saya masuk ke sekolah asrama penuh dan melanjutkan pelajaran ke New Zealand. Di New Zealand, saya menjadi Pengerusi Kelab Umno Wellington dan daripada situlah, saya mula menceburi bidang politik iaitu pada tahun 1998. Kemudiannya pada tahun 1999, saya berucap di Perhimpunan Agung Umno mewakili Kelab Umno Luar Negara.

Kemudian, saya bekerja dengan Biro Tatanegara di Jabatan Perdana Menteri seterusnya kembali semula ke bidang politik setelah dilantik menjadi setiausaha politik kepada Timbalan Menteri Kewangan pada masa itu iaitu Datuk Mustapa Mohamed. Daripada situ, saya menimba banyak pengalaman daripada Tok Pa (Mustapa) yang sangat rajin bekerja.

 Kemudian saya melanjutkan pelajaran peringkat MBA (Sarjana Pentadbiran Perniagaan) di Universiti Kebangsaan Malaysia
dan terlibat dalam Yayasan Restu sehinggalah diambil oleh Datuk Seri Najib sebagai Pengarah Seranta Felda.

Saya juga pernah menjawat pelbagai jawatan dalam Umno bermula sebagai AJK Umno Bahagian Sungai Benut, kemudian beberapa biro dalam Pemuda Umno Malaysia termasuk Biro Penerangan, Latihan, Agama, Sains dan Teknologi.

Saya juga pernah menjadi Ketua Penerangan Umno Bahagian Pontian, Setiausaha Penerangan Umno Johor dan Ketua Penerangan BN-BBC (Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional). Saya terlibat dalam kerja-kerja penerangan ini sudah lama.

Nama YB bukanlah antara nama yang disebut-sebut untuk menjawat jawatan Ketua Penerangan. Bagaimana perasaan YB setelah mengetahui YB terpilih?

AHMAD MASLANWalaupun Datuk Seri Najib mengenali saya tetapi saya tidak meminta sebarang jawatan termasuk jawatan Timbalan Menteri atau Ketua Penerangan Umno. Ia (pelantikan) adalah sesuatu yang memeranjatkan untuk saya tetapi setelah diberi rasionalnya, saya sanggup memikul amanah yang berat ini.

Antara rasionalnya adalah supaya wajah Umno dilihat lebih muda dan saya boleh menjadi jambatan bagi generasi berumur 20-an dan 30-an kerana saya berumur awal 40an dan pada masa yang sama, saya boleh berhubung dengan generasi 50-an dan 60-an.

Mungkin kerana saya pernah bertugas dengan Datuk Seri Najib ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri menerusi Felda, timbul kepercayaan beliau kepada saya maka saya dilantik.

Satu lagi, mungkin kerana saya boleh bekerja siang malam. Saya sanggup bekerja keras dan sedaya upaya saya.

Apa perubahan menyeluruh yang akan YB bawa dalam jentera penerangan Umno?

AHMAD MASLANJentera penerangan Umno ini sudah ada tetapi sama ada ia aktif atau tidak. Kita ada lebih 20,000 cawangan Umno, maknanya kita ada lebih 20,000 ketua penerangan cawangan, kemudian kita ada ketua penerangan Wanita, Pemuda dan Puteri di setiap cawangan.

Kemudian kita ada Biro Penerangan di 191 Bahagian dan kita ada Jawatankuasa Penerangan Negeri dan Pusat. Sama ada jentera ini bergerak atau tidak, itulah yang menjadi keutamaan saya iaitu menggerakkan jentera itu dan saya ingin perkara-perkara yang kreatif dalam membuat kerja-kerja penerangan.

Saya lihat ada empat medium komunikasi utama iaitu secara bersemuka, media elektronik, cetak dan maya. Keempat-empat medium ini akan digunakan untuk menarik semula sokongan Melayu kepada Umno dan rakyat Malaysia kepada BN.

Apakah sebenarnya fungsi Ketua Penerangan Umno?

AHMAD MASLAN Ia boleh dirumuskan sebagai GST iaitu daripada gelap kepada samar kepada terang. Itulah fungsinya dalam segala hal, isu dan dasar serta perkara-perkara yang hendak kita sampaikan.

YB akan memperkenalkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi jentera penerangan Umno. Boleh YB terangkan mengenai hal itu?

AHMAD MASLAN Maksud KPI itu adalah kita mahu menetapkan jumlah program penerangan di semua peringkat termasuk cawangan, bahagian, negeri dan pusat dalam tempoh sebulan, enam bulan dan setahun.

Jadi, kalau kita ada jadual berkala dan ada sasaran yang perlu kita capai, itu akan dijadikan KPI.

Apakah peranan yang boleh dimainkan oleh Penerangan Umno Pusat dalam usaha pembaharuan Umno?

AHMAD MASLAN Pertama, kita hendaklah mengakui hakikat yang perlu ditelan walaupun pahit iaitu BN tidak mendapat dua pertiga majoriti dan hilang lima negeri (dalam pilihan raya umum ke-12). Itu hakikat yang perlu diakui terlebih dahulu.

Untuk itu, kita hendaklah menumpukan kepada usaha mengembalikan semula negeri-negeri yang tewas dan mendapatkan dua pertiga majoriti pada pilihan raya umum ke-13. Tumpuan kita adalah ke arah itu.

Saya menyeru kepada pemimpin-pemimpin Umno yang terlibat dalam penerangan supaya melipatgandakan usaha penerangan ini dengan pelbagai kaedah termasuk menerangkan dasar-dasar kerajaan dan isu-isu semasa.

Antara dasar utama yang perlu difahami adalah konsep 'Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan'. Tugas kita adalah memberi pemahaman kepada ahli-ahli parti bahawa tujuan kita murni kerana pada akhirnya, kita perlu mendapatkan mandat daripada rakyat dan kaedah yang terbaik adalah mendahulukan rakyat dalam apa jua dasar.

Apakah strategi YB untuk mendekati ahli-ahli Umno dan masyarakat amnya?

AHMAD MASLAN Saya akan rapat ke bawah. Sebab itu dalam masa dua minggu, saya telah menginap di dua rumah peneroka Felda. Saya akan melakukan perkara yang rapat kepada rakyat dan ini juga merupakan tema rakyat didahulukan. Saya rasa itulah kaedah terbaik dan apa yang saya buat ini diterima baik oleh masyarakat peneroka. Saya akan menginap di rumah peneroka setiap kali saya ke sesuatu kawasan Felda supaya saya dapat memahami lebih dekat masalah yang dihadapi dan mesra dengan mereka.

Apakah strategi yang akan dijalankan Biro Penerangan Umno berhubung sesetengah laporan laman blog yang mengecam Umno?

AHMAD MASLAN Pada saya, cabaran utama adalah media maya. Saya akan berbincang dengan orang yang tahu dan pakar dalam perkara ini. Umno sudah pun ada Umno Online tetapi semua perkara boleh ditambah baik.

Selain itu, kaedah utama pembangkang adalah memberi persepsi negatif terhadap apa jua yang BN lakukan. Strategi kita adalah mengubah yang negatif itu kepada positif.

Pada pandangan YB, apakah cabaran utama dalam era kepimpinan Datuk Seri Najib?

AHMAD MASLAN Pertama adalah kita mahu menyatupadukan kembali orang Melayu yang telah berpecah empat iaitu Melayu Umno, Melayu PAS, Melayu PKR dan Melayu atas pagar. Cabaran utama adalah menyatukan Melayu sebagai bangsa induk selain mengakui hakikat kita bersama-sama dengan kaum Cina, India dan Bumiputera lain.

Cabaran kedua adalah untuk menarik semula sokongan khususnya daripada kaum Cina dan India. Mereka pernah menyokong kita secara majoriti dan mereka juga mengemukakan pandangan tertentu kepada kerajaan. Kita menghormati pandangan itu dan akan mengembalikan sokongan mereka kepada BN.

Pelantikan YB sebagai Ketua Penerangan Umno dan Timbalan Menteri pada masa yang sama dilihat sebagai tuah yang akan membuka jalan kepada karier politik YB untuk berkembang dengan lebih cepat. Apa komen YB?

AHMAD MASLAN Ia antara tuah dan amanah. Memang begitulah nampaknya dan saya amat menghargai dan bersyukur atas amanah yang diberi serta menerima dengan tawaduk. Saya kira daripada pengalaman sudah-sudah, saya akan dapat melaksanakannya dengan bantuan semua pihak. Nampaknya ia (kerjaya politik) melonjak begitu dan hakikatnya adalah untuk meremajakan Umno dan kerajaan.

-mstar.com.my-

Dia adalah seorang yang sangat hebat jika sekiranya dia mampu untuk menyatukan orang melayu yang dikatakan berpecah empat. Andainya dia mampu menyatukan orang melayu tentulah dia lebih hebat dari Mahathir dan sudah tentu lebih hebat dari Najib. Wajarlah Najib meletak jawatan memberi laluan kepada Ahmad Maslan untuk menjadi PM. Ha ha ha..

    Tiada ulasan: