"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Usaha Menjatuhkan Ahmad Said Berterusan

Politik Terengganu bakal bergolak lagi setelah senyap seketika apabila pucuk pimpinan Umno diberitakan bakal menurunkan Datuk Ahmad Said daripada jawatan Menteri Besar yang kini disandangnya dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri PAS Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi pertikaian politik Umno Terengganu di antara kumpulan yang menyokong kepimpinan Datuk Ahmad dan kumpulan yang menyebelahi bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh sudah sukar dibendung dan mampu menjejaskan kerajaan dan pentadbiran awam negeri sekiranya ia berterusan.

"Mungkin atas alasan itu pucuk pimpinan Umno mahu melihat perubahan di dalam kepimpinan kerajaan negeri dan saya difahamkan ia akan berlaku dalam masa dua tiga minggu lagi.

"Umno Terengganu sudah berpecah kepada dua tiga kumpulan yang bermusuhan dan ini memberi kesan mendalam terhadap keberkesanan Datuk Ahmad sebagai Menteri Besar. Sukar baginya menjalankan tugas apabila kepimpinanannya sentiasa diganggu gugat oleh kumpulan Idris Jusoh dan beliau pula tidak disenangi oleh ramai kakitangan perkhidmatan sivil Terengganu disebabkan oleh sesetengah tindakan dan dasarnya," jelas Dr Syed Azman ketika dihubungi TV Antara.

Pertukaran Menteri Besar yang bakal berlaku juga adalah sebahagian daripada strategi penyelesaian Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu yang baru, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang mengambil alih jawatan itu daripada Datuk Ahmad dalam rombakan kepimpinan Umno negeri baru-baru ini tambah Pengerusi Lujnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS itu.

Walau bagaimanapun disebabkan Datuk Ahmad adalah pilihan Sultan Terengganu dan bukannya calon Umno maka pucuk pimpinan parti perlu mendapat restu istana sebelum menggantikan beliau.

Sekiranya pihak istana masih mahukan perkhidmatan Datuk Ahmad ini mungkin menyukarkan lagi usaha memulihkan kemelut politik Umno di negeri itu.

ADUN Jabi, Ramlan Ali berkata masalah yang timbul ialah kegagalan Menteri Besar untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh sesetengah wakil rakyat Umno.

"Mungkin Menteri Besar terlepas pandang untuk menyelesaikan beberapa masalah ADUN jadi yang kecil lama-lama jadi besar ibarat kudis menjadi bisul, parahlah.

"Saya rasa masalah ini boleh selesai kalau diadakan perjumpaan dan penjelasan mengenai apa saja masalah yang timbul," jelas beliau lagi.

Sehingga kini ramlan berkata Menteri Besar belum lagi menunjukkan tanda-tanda untuk membuat perbincangan dengan ADUN-ADUN yang bermasalah dengan beliau.

Antara nama-nama yang disebut sebagai Menteri Besar baru Terengganu termasuk Datuk Abdul Rahin Mohd Said, ADUN Teluk Pasu yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia Dan Sukan Negeri, Datuk Mohamed Awang Tera, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Usahawan Dan Koperasi Negeri merangkap ADUN Cukai dan Alias Abdullah, ADUN Alor Limbat.

Dalam pada desas desus pertukaran Menteri Besar timbul pula kemungkinan beberapa ADUN BN Terengganu melompat menyertai PAS.

Ini berdasarkan kenyataan Naib Presiden, Datuk Husam Musa yang mendedahkan beberapa ADUN BN telah menyatakan hasrat untuk meninggalkan Umno dan menyertai PAS.

"Kita sedang berunding dengan wakil rakyat berkenaan dan setakat ini Alhamdulillah ada reaksi positifnya untuk PAS. Mereka sudah melihat kemampuan PAS untuk mengganti Umno sebagai tunggak utama orang Melayu dan Islam di negara ini," beliau dilaporkan berkata dua hari lalu.

-TVAntara.com.my-

Tiada ulasan: