"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tidak adil "Kerajaan Perpaduan" disimpulkan dengan simplistik sebagai sertai BN - Hariz Zalkapli


Huruf condong
IDEA Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk menubuhkan kerajaan perpaduan telah menerima pelbagai reaksi dari ahli-ahli parti dan sekutu dalam Pakatan Rakyat, yang sebahagian besarnya negatif, dengan mengaitkan usaha itu sebagai berbaik-baik dengan Umno dan menyertai Barisan Nasional, tulis Haris Zalkapli pada blognya.

Debat isu ini menjadi sukar untuk dinilai dengan jelas dan rasional disebabkan sentimen dan emosi politik yang mendominasi perbincangan – dan halangan untuk berbincang – mengenai isu kerajaan perpaduan ini.

Cadangan kerajaan perpaduan Abdul Hadi itu sewajarnya diberi penilaian yang rasional oleh semua pihak untuk kepentingan semua rakyat Malaysia yang hampir separuh daripadanya tidak memberikan undi kepada Barisan Nasional dalam pilihan raya umum lalu.

Kerajaan perpaduan didakwa akan memberikan talian hayat kepada Umno, memberikan kekuatan semula kepada Umno pada masa ia hampir musnah dan paling buruk, usaha ke arah itu dilihat sebagai cubaan untuk menyertai Umno atau Barisan Nasional.

Sebenarnya, kerajaan perpaduan, menurut perlaksanaan yang mengambil kira kekuatan parti-parti pembangkang yang bergabung dalam Pakatan Rakyat, akan memaksa Umno untuk berkongsi kuasanya dengan parti-parti pembangkang.

Ini selari dengan peningkatan undi dan perwakilan parti-parti pembangkang di parlimen dan dewan-dewan undangan negeri. Amat tidak wajar peningkatan kuasa pembangkang tidak dicerminkan oleh perwakilannya dalam hal ehwal pentadbiran negara, sama seperti tidak wajar kemerosotan undi Umno dan BN tidak dapat dilihat terjemahannya dalam pembahagian kuasa di peringkat pusat dan negeri.

Pembahagian kuasa melalui kerajaan perpaduan mampu menyelesaikan kelumpuhan seperti yang disaksikan di Perak, dengan pihak yang memegang kuasa dengan pembangkang mempunyai pembahagian kerusi yang hampir sama, dan kedua-dua pihak tidak boleh mendakwa mereka mendapat sokongan rakyat, kerana jumlah yang besar rakyat menolak mereka.

Perbezaan yang tipis ini berpotensi menyukarkan mana-mana pihak untuk mentadbir dan melaksanakan dasar-dasar ekoran tentangan yang agak kuat.

Kerajaan perpaduan hakikatnya ialah pilihan yang bermoral berbanding menubuhkan kerajaan hasil pertukaran ahli-ahli parlimen ke parti lain melalui lompat parti. Dengan melompat parti, wakil-wakil rakyat terbabit meninggalkan pendiriannya sebelum itu, yang menjadi antara sebab utama mereka dipilih, dan menyokong pula pendirian yang bertentangan. Hal ini sangat tidak adil kepada konstituensi beliau, dan akan mengundang krisis lain yang mungkin berpanjangan.

Sebagai contoh, seorang ahli parlimen dipilih berdasarkan platform konservatif beliau oleh pengundi-pengundi yang menyokong pendirian konservatif itu. Setelah melompat ke parti yang berpendirian liberal dan menyokong dasar parti itu, apakah ertinya proses pengundian yang dilaksanakan sebelum itu? Hal ini satu penghinaan kepada suara pengundi yang menyokongnya dalam pilihan raya.

Melalui kerajaan perpaduan, parti-parti terbabit masih boleh bergerak berdasarkan platform masing-masing. Pengundi-pengundi juga boleh menuntut dasar-dasar yang mereka sokong sebahagiannya dilaksanakan oleh kerajaan.

Tidak adil sekiranya usaha-usaha berunding untuk menubuhkan kerajaan perpaduan disimpulkan dengan simplistik sebagai usaha menyertai Umno dan BN. Konsensus sesetengah media yang membahagikan kumpulan yang menyokong kerajaan perpaduan sebagai “promuzakarah” dan kumpulan yang menentang sebagai “pro-Pakatan” amat menyeleweng dari makna sebenar.

Label itu memberikan implikasi mereka yang meenyokong muzakarah dan kerajaan perpaduan sebagai anti-Pakatan. Mereka yang menyokong kerajaan perpaduan dan muzakarah dengan Umno tidak boleh disimpulkan sebagai anti-Pakatan.

Hakikat bahawa rundingan perlu diadakan dengan Umno untuk mencapai kerajaan perpaduan tidak boleh dielakkan, kerana Umno ialah pihak yang memegang kuasa terbesar dalam kerajaan persekutuan.

Usaha menolak terus Umno sangat tidak realistik dalam realiti politik Malaysia hari ini. Apa pun yang diharapkan akan berlaku ke atas Umno, parti ini mempunyai satu kekuatan yang terbina akibat asas binaannya, daripada rakyat dan ahli-ahli akar umbi dan kepentingan-kepentingan perniagaan yang mendapat manfaat daripadanya dan mempunyai kepentingan untuk memastikannya terus kuat.

Di mana-mana pun di seluruh dunia, rundingan melibatkan entiti politik terbesar dan terkuat dalam sesebuah masyarakat tidak boleh dielakkan untuk mencapai matlamat-matlamat tertentu, termasuk kerajaan perpaduan. Tindakan mengabaikan dan menolak terus satu kumpulan yang mewakili satu etnik atau kumpulan masyarakat yang dominan tidak akan dapat mencapai apa-apa.

Di Palestin, Israel dan Lubnan, kerajaan perpaduan nasional terpaksa diusahakan untuk memberikan bahagian yang sewajarnya kepada setiap kumpulan yang diwakili oleh parti-parti yang mendapat undi yang signifikan. Tidak ada satu kumpulan yang mendapat undi yang cukup besar untuk menubuhkan kerajaan.

Sudah tiba masanya di Malaysia, idea kerajaan perpaduan ini dibincangkan dengan serius demi kepentingan rakyat terbanyak. Pakatan Rakyat, yang menggunakan isitlah “rakyat” pada namanya, wajar memikirkan pendekatan ini untuk kepentingan bersama.

Tiada ulasan: